Ahad, 17 Julai 2016 | 8:15pm

Anggota polis maut, isteri cedera SUV terbabas


KEADAAN SUV yang dipandu mangsa yang terbalik di KM265.4 Lebuhraya PLUS arah utara.- Foto Ihsan Bomba

KUALA KANGSAR: Seorang anggota polis maut manakala isterinya cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 256.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 5.10 petang itu, anggota polis berpangkat Sarjan Mejar yang bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Taiping, Gambaris Saingaw @ Watmin Saiman, 56, yang memandu kenderaan Toyota itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Isteri mangsa, Nor Hayati Meor Mohmamed, 59, yang bertugas sebagai kerani di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Taiping, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq, berkata siasatan awal mendapati SUV berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh ke Taiping.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian yang menuruni bukit lurus dan basah akibat hujan, mangsa gagal gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke tepi kiri jalan.

"Akibat daripada kemalangan itu, SUV berkenaan terbalik di tepi kiri jalan dan mengalami kerosakan teruk di bahagian depan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Termizi berkata, susulan kemalangan itu, pemandu kenderaan disahkan maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

"Penumpang SUV berkenaan yang cedera ringan, dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X