Ahad, 17 Julai 2016 | 6:48pm

Pesawah dakwa rugi ancaman bena perang


MUSLAN menunjukkan bena perang yang hinggap di sebahagian sawah padi terjejas di Kampung Parit Haji Ali, Bagan Serai. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi

BAGAN SERAI: Sebahagian kecil pesawah dalam kawasan Parlimen Bagan Serai, mendakwa menanggung kerugian ribuan ringgit apabila lebih 10 hektar kawasan sawah yang diusahakan diserang penyakit bena perang atau dipanggil 'bom' oleh penduduk setempat.

Lebih memburukkan keadaan, pesawah turut berdepan masalah hasil padi ringan hingga menyebabkan mereka dibebani pelbagai hutang.

Muhammad Mawi, 53, berkata serangan bena perang menjejaskan keseluruhan 2.4 hektar sawah padi miliknya dan menyebabkan hasil padi terjejas lebih tiga kali ganda.

Beliau mendakwa, serangan itu bermula dua minggu lalu dan menjejaskan sawah diusahakan dalam tempoh 10 hari.

"Saya cuba menggunakan racun khas dibekalkan Jabatan Pertanian untuk membendung ancaman bena perang, namun tidak berhasil.

"Biasanya saya memperoleh hasil padi sehingga 10 tan metrik semusim, namun serangan bena perang menyebabkan hasil merosot ke paras tiga tan metrik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Muhammad berkata, sawah diusahakannya turut berdepan masalah rumput sambau yang mengganggu proses tumbesaran padi.

Katanya, kerugian ditanggung musim ini mencecah RM8,000 dan kini berdepan masalah modal untuk meneruskan musim penanaman kedua.

"Saya harap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat memperkenalkan skim perlindungan takaful kepada pesawah sebagai jaminan kehidupan kami sekiranya hasil padi terjejas," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) cawangan Parit Haji Ali, Muslan Hanafiah, berkata enam hektar sawah di kampungnya terjejas akibat serangan bena perang.

"Tinjauan pihak kami di Kampung Parit Haji Ali hanya enam hektar terjejas teruk manakala kawasan lain dipantau pegawai Jabatan Pertanian," katanya.

Berita Harian X