Ahad, 17 Julai 2016 | 5:08pm

Sisa buangan kilang sawit SDP bukan punca sungai tercemar

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

mohdfahmi@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Sime Darby Plantation (SDP) menegaskan, tiada bukti fizikal sisa buangan dari Kilang Kelapa Sawit Ulu Remis milik syarikat itu menjadi punca pencemaran ammonia di Sungai Johor.

SDP dalam satu kenyataannya hari ini, berkata bagi mengesahkan fakta itu dan menolak kemungkinan pencemaran penggunaan baja dalam ladang, SDP mengambil sampel dari Sungai Remis dan Sungai Sayong bagi diuji di makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) milik syarikat.

"Keputusan dan pengesahan fizikal dikendalikan di tapak menunjukkan tiada bukti jelas kilang atau ladang menjadi punca pencemaran ammonia di Sungai Johor.

"SDP akan mengemas kini hasil siasatan dan kajian kepada pihak berkuasa dan membantu dalam siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SDP memaklumkan, pihaknya sudah menerima notis pemberhentian operasi selama 60 hari untuk Kilang Kelapa Sawit Ulu Remis dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor pada Khamis lalu.

"Notis berkenaan dikeluarkan berikutan limpahan sisa buangan minyak kelapa sawit terawat di satu daripada 109 alur bidang yang berada dalam ladang sawit kawasan kilang berkenaan.

"SDP akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menentukan punca sebenar pencemaran ammonia yang tinggi di Sungai Johor," katanya.

Khamis lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kilang sawit milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Ulu Remis, dekat Kluang dikenal pasti menyebabkan berlakunya pencemaran ammonia di Sungai Johor.

Selasa lalu, SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ) memaklumkan, pencemaran ammonia dikesan berlaku di Sungai Johor dan menjejaskan bekalan air mentah membabitkan 120,000 akaun pengguna.

27 dibaca
Berita Harian X