Ahad, 17 Julai 2016 | 11:46am
MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Padang Rengas di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kangsar malam tadi. - Foto BERNAMA

Pastikan aspek kebersihan tarik pelancong - Menteri

PADANG RENGAS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak perlu memastikan aspek kebersihan pada tahap terbaik dalam usaha menjadikan negeri ini terus menjadi destinasi pilihan pelancong.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata kementeriannya akan terus memberikan kerjasama dari segi sokongan moral dan kewangan bagi memantapkan lagi industri pelancongan negeri.

"Bukan sahaja kawasan persekitaran perlu bersih, pengendali makanan juga perlu mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan supaya sentiasa berada dalam keadaan baik, bersih dan teratur.

"Mesti bagi satu tanggapan yang baik kepada negeri ini supaya pelancong berasa selesa apabila berkunjung ke sini," katanya kepada pemberita selepas Program Merakyatkan Pelancongan dan Kebudayaan Bersama Penggiat Industri bersempena Perayaan Aidilfitri 2016 di sini, malam tadi yang dihadiri lebih 5,000 orang.

Berhubung laporan portal pengembaraan terbesar di dunia Lonely Planet pada Rabu lalu yang meletakkan Ipoh di tempat keenam sebagai destinasi menarik di Asia untuk dikunjungi, Mohamed Nazri berkata bandar raya itu diminati pelancong asing kerana kepelbagaian makanan serta keindahan landskap.

"Apabila penerbangan terus Singapura-Ipoh diwujudkan, ramai pelancong dari negara tersebut berkunjung ke Ipoh semata-mata mahu menjamu selera kerana Perak terkenal dengan 'hawker food' seperti ayam taugeh dan ayam garam.

"Selain itu, pelancong dari Singapura dan China gemar berkunjung ke Ipoh kerana mereka suka dengan landskap di bandaraya tersebut yang seakan sama seperti di Kansai, China," kata Mohamed Nazri.

Lonely Planet meletakkan Ipoh di tempat keenam sebagai destinasi menarik di Asia untuk dikunjungi tahun ini, selepas Hokkaido, Jepun; Shanghai, China; Jeonju, Korea Selatan; Pulau Con Dao, Vietnam dan Hong Kong, China.

Menurut laman web itu, makanan yang kurang dikenali mula mempunyai permintaan setelah kafe butik diwujudkan di bandar raya bersejarah itu.

Laporan itu juga menyebut tempat dan perkara yang wajib dilakukan pelancong ketika melawat ialah pengembaraan bebas seperti memerhati burung dengan berbasikal melalui Kinta Nature Park atau berakit dekat Gopeng.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata tahun lepas Perak muncul sebagai negeri paling banyak menerima kedatangan pelancong domestik iaitu lapan juta pengunjung, petanda positif bagi Tahun Melawat Perak 2017. - BERNAMA

Berita Harian X