Ahad, 17 Julai 2016 | 12:09am

JDT belasah Kedah 5-0

PEMAIN JDT, Peeyra Diaz cuba melepasi penjaga gol Kedah, Mohd Farhan Abu Bakar pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) mencatat kemenangan bergaya setelah berehat lama dari saingan Liga Super dengan membelasah pasukan Kedah, 5-0 di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Dengan pesta gol malam ini, skuad Harimau Selatan kekal mengungguli takhta Liga Super dengan 33 mata selepas 13 perlawanan, berkelebihan dua mata ke atas pencabar terdekat, Felda United yang turut mencatat kemenangan di laman sendiri.

Pemain kontroversi berikutan mengumumkan persaraan dari skuad kebangsaan, Safiq Rahim, meletakkan tuan rumah selesa di hadapan apabila menyumbang dua gol pada minit ke-27 dan 40.

Skuad kendalian Mario Gomez terus mengasak lawan sebaik wisel bermulanya separuh masa kedua yang berjaya menghasilkan gol ketiga pada minit ke-66 menerusi Marcos Antonio diikuti dua jaringan Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-79 dan 84.

Di JENGKA, Felda United pula kekal di tangga kedua walaupun mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Perak di Stadium Tun Abdul Razak.

Skuad bimbingan Irfan Bakti mengutip 31 mata selepas 13 perlawanan.

Gol The Fighters terhasil menerusi jaringan Lutfulla Turaev pada minit ke-23 dan Zah Rahan Krangar pada minit ke-27 manakala gol tunggal skuad The Bos Gaurus diperoleh pada minit ke-86 menerusi jaringan Mohd Fazrul Hazli Mohd Khadri.

Di SHAH ALAM, tuan rumah Selangor mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 di Stadium Shah Alam.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi pemain import Guilherme De Paula Lucrecio.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad The Red Giants menggandakan usaha pada separuh masa kedua yang akhirnya membuahkan hasil menerusi jaringan penyamaan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-52.

Minit akhir perlawanan, pemain import Ugochukwu Ukah mengesahkan gol kemenangan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan di laman sendiri. - BERNAMA

Berita Harian X