Sabtu, 16 Julai 2016 | 1:29pm

MIC bantu ibu tunggal berniaga dalam talian


Datuk M Saravanan

KUALA LUMPUR: MIC Wilayah Persekutuan menggandakan usaha bagi membantu ibu tunggal di seluruh negara mengembangkan perniagaan mereka secara dalam talian melalui program E-Usahawan.

Pengerusi Badan Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan, berkata program yang baharu diperkenalkan itu diyakini dapat menggalakkan golongan itu memperluaskan perniagaan mereka dan meraih pendapatan lumayan.

"Sambutan yang diterima sangat memberangsangkan di mana golongan sasar ini mempelajari cara-cara perniagaan secara online.

"Kita fokus kepada usahawan yang menjual produk mesra pengguna seperti barangan harian bagi menarik minat pembeli membelinya menerusi media sosial seperti Facebook dan Instagram," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 'E-Usahawan', di sini hari ini.

Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, berkata segala peruntukan akan disediakan oleh Wanita MIC di mana mereka turut menyediakan produk dan servis kepada golongan ibu tunggal yang berminat untuk menjalankan perniagaan.

"Kita juga membantu ibu tunggal ini yang mempunyai minat dalam perniagaan tetapi tidak mempunyai produk atau servis sendiri, oleh itu saya menyarankan kepada Wanita MIC untuk menyediakan produk untuk mereka berniaga," katanya.

Saravanan dalam pada itu mahu program itu dijadikan sebagai program tahunan Wanita MIC berikutan penyertaan menggalakkan daripada masyarakat India sekitar Kuala Lumpur. - BERNAMA.

Berita Harian X