Jumaat, 15 Julai 2016 | 7:44pm
TAN Sri Dr Ong Hong Peng (tiga dari kiri) pada majlis sesi 'Pembabitan penggiat industri: perkongsian mengenai kajian kesediaan industri pelancongan Malaysia ke arah pematuhan syariah' di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Industri pelancongan patuh syariah beri keuntungan

KUALA LUMPUR: Penggiat industri pelancongan dan hospitaliti berpeluang meraih keuntungan jika melaksanakan amalan patuh syariah untuk keselesaan pelancong beragama Islam yang kini meningkat.

Menurut kajian Pusat Pelancongan Islamik (ITC) mengenai 'Kesediaan industri pelancongan Malaysia ke arah pematuhan syariah', maklum balas pengguna dan penggiat industri dilihat mampu memberi impak positif ke atas pasaran itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Ong Hong Peng, berkata walaupun agak sukar untuk melaksanakan amalan patuh syariah sepenuhnya, namun ia boleh dimulakan dengan konsep yang mesra muslim.

"Kajian berkenaan sebagai modul kepada penggiat industri sektor pelancongan untuk mengaplikasikan perkhidmatan atau hospitaliti khusus bagi keselesaan pelancong yang beragama Islam seperti kemudahan tempat solat dan mendapatkan makanan halal.

"Pasaran pelancongan muslim menjadi salah satu industri yang pesat membangun dalam dunia pelancongan kini. Pada tahun 2015 dianggarkan lebih 117 juta pelancong muslim antarabangsa dan ia dijangka meningkat sehingga lebih 168 juta pada tahun 2020.

"Melalui peningkatan berkenaan, permintaan terhadap kemudahan serta perkhidmatan untuk memenuhi keperluan mereka juga meningkat, " katanya ketika di temui dalam majlis sesi 'Pembabitan penggiat industri: perkongsian mengenai kajian kesediaan industri pelancongan Malaysia ke arah pematuhan syariah', di sini hari ini.

Yang turut hadir, pelbagai wakil daripada sektor perhotelan, ejen pelancongan, panduan pelancongan dan ahli akademik.

Hong Peng, berkata antara yang perlu di beri tumpuan seperti kemudahan tempat untuk mereka menunaikan tuntutan sebagai agama Islam seperti solat lima waktu dan kemudahan mencari makanan halal.

"Ada beberapa industri hospitaliti dalam negara sudah memulakan pematuhan syariah dan jelas ia menguntungkan, namun sebahagian besar penggiat industri belum memulakan langkah berkenaan.

"Melancong ke negara yang tidak mengaplikasikan pematuhan syariah turut mendatangkan ketidakselesaan, malah jika ia diamalkan ia lebih memudahkan serta memberi kepuasan kepada mereka untuk melancong, "katanya.

Katanya, Australia, Jepun dan Korea Selatan kini memberikan perhatian serius terhadap penyediaan kemudahan untuk pelancong beragama Islam.

Info

*Kajian bermula pada Julai 2015 hingga Januari 2016.

* Unit Perundingan Universiti Malaya (UPUM), dilantik dan bertanggunjawab untuk menjadi penasihat kajian.

* Tahun 2015 dianggarkan seramai lebih 117 juta pelancong muslim antarabangsa.

*Kajian dijalankan kepada pemilik perhotelan dan pelanggan.

*Sumber dari Halal Crescentrating memetik perbelanjaan pelancong ini dianggarkan melebihi AS$200 bilion (RM815 bilion).

 

Berita Harian X