Jumaat, 15 Julai 2016 | 4:12pm

KM44 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands selamat dilalui


ZAINOL Fadzi (kiri) diberi penerangan tentang masalah cerun di Kilometer 44, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands oleh Pengarah Bahagian Kejuruteraan Cerun, JKR, Hassandi Abdullah. - Foto Yahya Zainuddin

IPOH: Laluan di Kilometer 44 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands selamat untuk dilalui kenderaan.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, yang membuat tinjauan dan pemeriksaan ke kawasan itu bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) hari ini.

Pemeriksaan itu susulan gambar runtuhan cerun di lokasi yang dirakam pada tahun 2014, menjadi viral dalam laman sosial semalam hingga mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

Zainol Fadzi berkata, JKR sudah membina struktur jalan yang lebih kukuh berbanding kaedah pembinaan jalan biasa di lokasi berkenaan.

"JKR memperuntukkan RM10 juta bagi pembinaan laluan sepanjang 430 meter itu termasuk membina struktur 'piled embankment' di bawah laluan berkenaan.

"Jika berlaku rebak tanah, laluan itu nampak seperti jambatan kerana struktur di bawah laluan itu kukuh untuk menampung laluan dari sebarang hakisan tanah," katanya kepada pemberita yang menyertai tinjauan itu.

Zainol Fadzi berkata, JKR akan melakukan usaha untuk meningkatkan keselamatan di kawasan cerun itu.

"Kita ada menjalankan usaha untuk menanam rumput di kawasan cerun itu tetapi dalam keadaan cuaca hujan, kawasan berumput turut terhakis.

"JKR masih memantau dan menaik taraf kawasan berkenaan," katanya.

Berita Harian X