Jumaat, 15 Julai 2016 | 12:13am
PENGASAS RaD Mas, Maskiah Md Yunos. - Foto Shiraz Ali
MASKIAH (dua dari kanan) bersama suami, Mohd Radzi Abdul Mutalib (kiri) bersama kakitangannya di Jalan Hj Sirat Sunga Leman, Sekincan, Selangor. - Foto Shiraz Ali
SELAIN berniaga, Maskiah turut mencipta peluang pekerjaan iaitu membantu orang kampung memperoleh pendapatan tambahan. - Foto Shiraz Ali
MASKIAH yakin Allah sentiasa ada untuk membantu menyelesaikan setiap permasalahan. - Foto Shiraz Ali

Hasil kerja 100 hari, sara hidup keluarga setahun

BEKERJA kira-kira 100 hari setahun, manakala masa selebihnya adalah tempoh meluangkan masa bersama keluarga sambil mencari idea serta resipi menghasilkan biskut raya baharu.

Itulah rutin tahunan Maskiah Md Yunos, 55, sejak memulakan perniagaan biskut raya di bawah label RaD Mas secara serius bersama suaminya, Mohd Radzi Abdul Mutalib, 56, sejak 2001.

Bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar dekat Kuantan itu, mula terbabit dengan biskut raya selepas mengikuti kelas membuat tat nanas ketika masih mengajar sekitar 1995.

"Tidak sangka bermula dengan sekadar suka-suka, ramai yang menyukai air tangan saya. Permintaan tinggi membolehkan saya menjana pendapatan sampingan dengan bantuan suami yang turut menjual di pejabatnya, manakala adik mengambil tempahan di universitinya.

"Sejak itu, saya dan suami turun ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) Kuala Lumpur untuk berniaga, setiap kali menjelang musim perayaan.


MASKIAH memulakan pembabitannya dalam perniagaan biskut raya sejak mengikuti kelas membuat tat nanas sekitar 1995. - Foto Shiraz Ali

MASKIAH lebih rela mengharungi permasalahan biskut tidak habis dijual berbanding kegagalan memenuhi permintaan kerana akan menyebabkan pelanggan dan pengedar hilang kepercayaan kepada mereka. - Foto Shiraz Ali

"Kami berulang-alik dari Kuantan ke Kuala Lumpur selepas waktu persekolahan, selain dibantu pekerja sambilan. Dua tahun kemudian, saya mengambil keputusan bersara awal kerana berdepan masalah kesihatan," katanya ketika ditemui di Sekinchan, baru-baru ini.

Pada tahun 2000, Maskiah dan suaminya pulang ke kampung di Sekinchan untuk menabur bakti kepada ibu yang tinggal bersendirian.

Mencari sumber rezeki baru selain bergantung pada wang pencen, Maskiah dan suami membuat keputusan memberi tumpuan kepada penjualan kuih raya dengan bermodalkan wang simpanannya pada tahun 2001.

Maskiah mula menghasilkan 10 jenis biskut baru dan menjadikan ahli keluarga sebagai ejen jualan utama selain mencipta peluang pekerjaan dan pendapatan tambahan buat orang kampung.

Dia kini boleh berbangga dengan penghasilan 20 jenis biskut raya serta memiliki lebih 300 pengedar di seluruh negara, yang mana hasil jualan juadah yang mencapai 150,000 bekas itu mampu menampung perbelanjaan keluarganya selama setahun.


MASKIAH kini boleh berbangga apabila menghasilkan kira-kira 20 jenis biskut raya dan memiliki lebih 300 pengedar di seluruh negara. - Foto Shiraz Ali

MASKIAH (empat dari kanan) bersama suami, Mohd Radzi Abdul Mutalib (dua dari kiri) di Jalan Hj Sirat Sunga Leman, Sekincan, Selangor. - Foto Shiraz Ali

"Biasanya selepas bekerja keras, saya akan meluangkan masa melancong bersama keluarga di luar negara sambil membuat penyelidikan mengenai biskut raya baharu supaya pelanggan tidak bosan dengan rasa yang sama.

"Meskipun kelihatan mudah kerana hanya bekerja 100 hari setiap tahun, namun antara cabaran besar sebagai peniaga biskut raya ialah kegagalan memenuhi permintaan serta kebimbangan jika biskut tidak habis dijual," katanya yang sudah melancong lebih 10 negara.

Namun bagi Maskiah, dia lebih rela mengharungi masalah biskut tidak habis dijual daripada kegagalan memenuhi permintaan kerana menyebabkan pelanggan dan pengedar hilang kepercayaan kepada mereka.

"Peristiwa tiga tahun lalu mengajar saya dan suami lebih berhati-hati berurusan mengambil tempahan selain memerlukan kerjasama baik dari wakil pengedar. Ketika itu, saya seharusnya menyerahkan tempahan terakhir seminggu sebelum Ramadan, namun kelewatan ejen memberi senarai tempahan menyebabkan kami tidak berupaya memenuhi permintaan pelanggan.

"Namun, sejurus terlihat paparan ayat al-Quran 1000 dinar di televisyen, saya mendapat idea. Selain bantuan pekerja, saya turut meminta bantuan guru dan pelajar sekolah berdekatan untuk bergotong-royong menyiapkan biskut yang ditempah. Akhirnya masalah itu dapat diselesaikan. Saya bersyukur kerana niat kami dipermudahkan Allah," katanya.

Berita Harian X