Khamis, 14 Julai 2016 | 10:43pm

Tempahan Perodua Bezza bermula Sabtu

PERODUA Bezza.

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan membuka tempahan bagi model Sedan Cekap Tenaga (EEV) pertama yang direka bentuk sepenuhnya oleh anak tempatan, Bezza di semua 181 bilik pameran seluruh negara bermula Sabtu ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, berkata penantian panjang sudah berakhir apabila Perodua dijadual akan melancarkan model sedan itu pada 21 Julai ini.

Katanya, sedan itu adalah hasil kerjasama dan pemindahan teknologi selama beberapa dekad bersama rakan kongsi Perodua, Daihatsu Motor Co Ltd.

"Menerusi bimbingan mereka kami sekarang ini mampu berdiri sendiri dengan model baharu ini dan inilah sedan yang sesuai dengan keperluan semua rakyat Malaysia.

"Perodua sedan ini, yang dinamakan Bezza, adalah model transformasi kedua (selepas Axia) dan kereta siap untuk pasaran global pertama kami dengan varian 1.3L Advance dilengkapi pelbagai ciri-ciri keselamatan moden," katanya dalam satu kenyataan.

Perodua Bezza dikeluarkan di kilang diperakui EEV, Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, iaitu sebuah kemudahan moden dengan kadar automasi melebihi 75 peratus. Kemudahan sama turut mengeluarkan Perodua Axia.

"Nama sedan mendapat inspirasi daripada perkataan 'Beza' dalam bahasa Melayu, yang bermakna berlainan. Itulah sebenarnya sedan EEV pertama Perodua, benar-benar berlainan," katanya.

Huruf 'Z' berganda di dalam namanya turut menyamai nombor '22', bagi mencerminkan fakta bahawa Perodua sudah berada di dalam pasaran selama 22 tahun.

Tagline 'Lebih Daripada Kompak' juga menjelaskan bahawa Perodua Bezza melangkaui jangkaan pemandu mengenai apa yang ditawarkan oleh kereta sedan tempatan.

Kereta dilengkapi teknologi moden, penggunaan yang mengagumkan serta mampu dimiliki itu dibina dengan tanda dagang Perodua dari segi kualiti, kebolehpercayaan, nilai dan dan penjagaan.

Sedan baharu itu didatangkan dalam lima varian, iaitu 1.0L Transmisi Manual dan Automatik; 1.3L Premium X Transmisi Manual dan Automatik; serta 1.3L Advanced Version Transmisi Automatik.

Varian Perodua Bezza 1.3L Advance dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), iaitu fungsi keselamatan yang mengesan dan mengurangkan gelinciran yang membolehkan pengguna mengekalkan kestabilan semasa memandu.

Varian berkenaan juga didatangkan dengan Bantuan Brek (BA) dan Kawalan Tarikan (TRC) yang membolehkan pemandu mengekalkan daya tarikan di atas jalan yang licin.

Ia juga mempunyai Bantuan Nyalaan Bukit (HSA) yang menghalang kereta daripada tergelincir ke belakang di bahagian cerun semasa brek dilepaskan. Ini memberikan masa kepada pemandu untuk menukar kepada pedal minyak.

Satu lagi ciri-ciri pertama bagi Perodua adalah butang mula/henti dengan kunci pintar yang hanya boleh didapati dalam varian 1.3L.

Dari segi multimedia, varian Perodua Bezza 1.3L Advance dilengkapi dengan alatan mudah alih multimedia yang membolehkan pengguna mengakses media sosial dan hiburan daripada gajet Android ketika kenderaan berada dalam keadaan statik.

Berita Harian X