Khamis, 14 Julai 2016 | 7:03pm

Pertemuan 3 negara bincang operasi bersepadu Laut Sulu


DATUK Seri Hishammuddin Hussein. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah pada pertemuan trilateral membabitkan Menteri-Menteri Pertahanan Indonesia dan Filipina, 21 Julai depan.

Ia bagi membincangkan usaha mempercepatkan penubuhan dan pengoperasian di Laut Sulu bagi menangani ancaman yang menggugat keamanan serta keselamatan kawasan maritim secara bersepadu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pertemuan itu membabitkan Menteri Pertahanan Indonesia, Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Mejar Jeneral (B) Delfina Lorenzana.

Dalam pertemuan di Manila bulan lalu, beliau mengesahkan semula komitmen yang dibuat oleh Menteri-menteri Luar dan Panglima Angkatan Tentera dalam menangani cabaran keselamatan maritim serantau yang merangkumi kepentingan negara berkenaan.

"Kami juga bersetuju bahawa amalan terbaik yang dikongsi hasil pengalaman Malaysia dan Indonesia dalam Rondaan Selat Melaka (MSP) boleh diterima sebagai model kerjasama tiga hala untuk menangani membimbangkan keselamatan maritim di Laut Sulu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, delegasi dari Malaysia yang kini berada di Jakarta, Indonesia bersama-sama wakil dari negara berkenaan sedang membincangkan draf prosedur operasi standard (SOP) mengenai Aturan Koperasi Trilateral antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Katanya, antara agensi negara yang terbabit seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Kementerian Luar dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"SOP ini akan ditandatangani selepas mesyuarat kumpulan kerja pada minggu depan di mana Menteri-menteri Pertahanan turut membincangkan secara terperinci berhubung pengoperasian Inisiatif Rondaan Laut Sulu (SSPI) oleh angkatan tentera masing-masing," katanya.

Berita Harian X