Khamis, 14 Julai 2016 | 10:05am

Penuntut USIM terima sumbangan selepas rumah sewa terbakar


Pengerusi Biro Pemuda IPT PPUM, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya (dua dari kanan) beramah mesra bersama pelajar USIM selepas menyerahkan sumbangan selepas kediaman mereka terlibat dalam kebakaran di Taman Desa Anggerik, Bandar Baru Nilai. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

BANDAR BARU NILAI: Seramai 10 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diberi bantuan selepas rumah sewa mereka di Taman Desa Anggerik di sini, terbakar, Sabtu lalu.

Dalam majlis penyampaian sumbangan dikendalikan USIM di surau taman berkenaan semalam, semua mereka menerima bantuan wang tunai dan baucar buku bernilai RM1,400 seorang.

Sumbangan itu adalah daripada USIM sendiri melalui Tabung Amanah Kebajikan Pelajar, selain Biro Institut Pengajian Tinggi Pemuda UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan, MyPrihatin.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata sumbangan itu diharap dapat meringankan beban pelajar terbabit.

"Pihak universiti sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan penuntut, sama ada yang tinggal di kolej mahu pun menyewa di luar kampus dan bersedia memberi bantuan sewajarnya apabila keadaan memerlukan.

"Kita bersimpati dengan kejadian ini yang berlaku ketika semua pelajar terbabit bercuti sempena cuti semester dan berharap kejadian itu tidak mematahkan semangat mereka," katanya pada majlis itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jaya.

Dalam kejadian 4.30 petang Sabtu lalu, rumah itu terbakar sebanyak 80 peratus, memusnahkan sebahagian besar barangan yang ditinggalkan penuntut itu sebelum mereka pulang bercuti.

Berita Harian X