Khamis, 14 Julai 2016 | 7:45am

Jabatan Muzium Sarawak tidak akan diswastakan


LAMAN web Jabatan Muzium Sarawak di http://www.museum.sarawak.gov.my/index.php/en/

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak memberi jaminan Jabatan Muzium Sarawak tidak akan diswastakan, sekali gus menepis khabar angin berhubung cadangan itu yang didakwa dikemukakan oleh sekumpulan perunding muzium sebelum ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg mendedahkan hanya beberapa bahagian tertentu daripada muzium seperti Taman Teh di Galeri Brooke yang akan dibangunkan di Kubu Magherita menggunakan khidmat swasta.

"Bagaimanapun, selepas ini ada bayaran masuk kepada pengunjung yang berhajat mengunjungi pusat pameran dikendalikan jabatan itu, termasuk kubu-kubu yang ada di seluruh negeri," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama pegawai kanan Jabatan Muzium Sarawak di pejabatnya, di sini petang Rabu.

Katanya, kadar bayaran masuk itu akan diumumkan kemudian selepas diperhalusi dan dimuktamadkan.

"Sarawak perlu melaksanakan bayaran minimum bagi membolehkan pengunjung lebih menghargai 'khazanah sejarah', manakala hasil kutipan itu boleh digunakan untuk membiayai kerja-kerja penyelenggaraan," katanya.

Ketika ini, kata Abang Johari, hanya Sarawak yang masih membuka muziumnya secara percuma.

"Negeri lain seperti Sabah dan Melaka sudah mengenakan yuran minimum dan menaiktaraf perkhidmatan disediakan," katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, berkata kerajaan negeri juga sudah mengenal pasti tapak pembinaan Pusat Wallace di Santubong yang akan dihubungkan dengan Pusat Darwin di Muzium Sejarah Semula Jadi London.

"Kita memperuntukkan RM6 juta untuk tujuan ini, tetapi saya yakin ia tidak mencukupi kerana berkehendakkan kualiti yang bertaraf antarabangsa," katanya.

Menurutnya, antara tarikan pusat itu termasuk catatan mengenai Ali, pembantu Wallace yang dipercayai berketurunan Melayu dari Sarawak yang membantu menyembuhkan beliau daripada serangan demam di Sulawesi.

"Kita juga menjalinkan kerjasama dengan muzium berkenaan untuk program pertukaran bahan pameran, bagi membolehkan bahan rama-rama Low, dipamerkan di pusat yang diwujudkan di Santubong kelak," katanya lagi.

Alfred Russel Wallace adalah seorang pengembara, pakar alam sekitar, tokoh geografi, ahli antropologi dan ahli biologi terkenal yang pernah membuat kerja-kerja lapangan di Sarawak pada era 1850-an.

Berita Harian X