Khamis, 14 Julai 2016 | 12:44am
DATUK Dr Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia
KEMENTERIAN Kesihatan sudah memotong bekalan air ke Pusat Kusta bagi mengelak dicuri warga asing yang mengusahakan nurseri atas tanah tapak Pusat Kusta. Foto Halim Salleh
WARGA asing menjadikan Pusat Kusta Negara sebagai koloni mereka sambil bekerja di tapak nurseri. Foto Halim Salleh

Tanah terbiar Pusat Kusta akan disewakan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan bercadang menyewakan tanah sekitar Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) kepada aktiviti nurseri, dengan syarat ia dikendalikan orang tempatan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Chen Chaw Min, berkata cadangan itu akan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini, selepas mengenal pasti binaan dan kawasan sekitar pusat itu yang bakal diwartakan sebagai warisan negara.

Beliau mengakui sebelum ini kementerian itu pernah mengeluarkan kenyataan untuk merobohkan rumah kosong sekitar PKKN pada Jun lalu, tetapi terpaksa menangguhkannya selepas Jabatan Warisan Negara (JWN) mengemukakan permohonan menjadikan sebahagiannya sebagai warisan.


WARGA asing dan pengusaha nurseri menceroboh sebahagian daripada tanah milik Pusat Kusta. Foto Halim Salleh

"Sepatutnya ia sudah dirobohkan tetapi JWN minta ditangguhkan sebab mereka bercadang mengambil alih dua kawasan di situ untuk dijadikan warisan negara. Satu daripada kawasan yang dipohon itu terletak dalam pelan perobohan oleh kementerian.

"Jika tidak ada sebarang perubahan, kementerian ini akan beri keutamaan kepada permohonan JWN kerana ia penting untuk memelihara warisan yang kita ada kerana PKKN adalah pusat kusta kedua terbesar di dunia selepas Brazil. Sayang jika ia dirobohkan begitu saja.

"Sekurang-kurangnya, jika ia dijadikan warisan, strukturnya akan diperbaiki dan sekali gus mengekang pencerobohan. Mana-mana blok yang tidak diambil JWN akan dirobohkan mulai Disember ini dan tanah sekitarnya pula akan disewakan sebagai nurseri," katanya.

Dr Chen berkata, melihat kepada suasana sekitar PKKN ketika ini yang sudah dipenuhi nurseri, ia sekali gus menjadikan kawasan terbabit menarik dan dikunjungi ramai orang.

Namun, katanya, pencerobohan oleh warga asing mencacatkan keadaan di situ, sekali gus menimbulkan pelbagai isu seperti yang pernah didedahkan akhbar ini sebelum ini.


SEBAHAGIAN pondok bekas pesakit di Pusat Kusta Negara kini didiami oleh warga asing. - Foto Halim Salleh

Justeru, Dr Chen berkata, adalah lebih sesuai jika suasana itu (nurseri) diteruskan tetapi secara bersistem dengan menyewakannya kepada pengusaha yang mesti menggajikan pekerja tempatan saja.

"Semua itu akan dilaksanakan tahun ini juga. Sementara itu, kementerian sudah mengarahkan bekalan air ke kawasan pusat kuste terbabit disekat supaya tidak terus digunakan secara haram oleh penceroboh.

"Bukan mudah untuk menyekat pencerobohan kerana kawasan terbabit sangat luas, namun pihak penguatkuasaan akan bertindak secara berterusan bagi menyekat situasi itu.

"Kementerian masih menunggu proses pemetaan oleh pihak Hospital Sungai Buloh sebelum keputusan akhir mengenai situasi ini dimuktamadkan," katanya.

INFO:

- Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) merangkumi keluasan 227 hektar, diisytiharkan kerajaan pada tahun 1926 sebagai tempat pengasingan koloni kusta.

- Lebih 5,000 pesakit kusta dari seluruh negara yang ditempatkan di kem pengasingan lain seperti Setapak, Pulau Jerejak, Pulau Pangkor, Tumpat dan Tampoi dipindahkan di mukim Gombak iaitu di Lembah Sungai Buloh Leprosarium (Lembah Harapan).

- PKKN Sungai Buloh menjadi sangat penting kerana ia yang pertama seumpamanya di dunia sehingga perancangannya menjadi model kepada pusat kusta di serata dunia.

- Pada tahun 1995, PKKN diintegrasikan ke dalam Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Asas. Pada tahun 1996, tiada lagi kes baharu yang diterima masuk ke pusat ini.

 

Berita Harian X