Khamis, 14 Julai 2016 | 12:43am
LIJAH menunjukkan cara untuk membakar kuih akok. - Foto Farizul Hafiz Awang
ARANG kayu api masih jadi pilihan Lijah untuk membakar akok yang dijualnya. Foto Farizul Hafiz Awang
ADUNAN akok yang dihasilkan Lijah dibiarkan semalaman sebelum dibakar menggunakan acuan tembaga. - Foto Farizul Hafiz Awang
LIJAH menunjukkan cara membuat akok di rumahnya dekat Kampung Seri Damai. - Foto Farizul Hafiz Awang
AKOK dihasilkan Lijah yang diakui ramai sebagai juadah yang enak, dihasilkan menggunakan ramuan yang berkualiti. - Foto Farizul Hafiz Awang
PEMBUAT kuih akok tradisional, Lijah Abdullah 60. - Foto Farizul Hafiz Awang

Akok Mak Jah pernah terbang ke London

KUANTAN: Kuih akok Terengganu adalah antara juadah tradisional popular di Pantai Timur kerana keenakan serta kelembutannya yang pasti membangkitkan selera.

Di Pahang, antara pengusaha kuih itu adalah Lijah Abdullah, 60, dari Kampung Seri Damai di sini, yang disifatkan pakar akok, kerana juadah dihasilkannya menjadi tumpuan ramai termasuk golongan kenamaan dan kerabat di raja.

Malah, kira-kira tiga tahun lalu, kuih akok Terengganu dihasilkan Lijah yang mesra dengan panggilan 'Mak Jah', pernah diterbangkan ke kota London.


AKOK yang dihasilkan Lijah pernah ditempah dan diterbangkan sebagai hidangan tetamu kenamaan di London. - Foto Farizul Hafiz Awang

Mengimbau kenangan itu, Lijah berkata, tempahan terbabit diterima daripada seorang isteri wakil rakyat negeri ini yang membawa akok buatannya itu ke London sebagai hidangan tetamu kenamaan termasuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang ketika itu berada di sana menyaksikan kejohanan badminton.

"Saya diberitahu, Datin Seri Rosmah memuji akok yang saya buat sedap. Mulanya saya tidak percaya tetapi selepas diyakinkan barulah percaya. Sejak tiga tahun lalu juga, mereka sering menempah sekiranya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan isteri ada majlis di Pekan.

"Seronok juga apabila kuih yang saya hasilkan disukai ramai termasuk orang kenamaan. Pada Ramadan lalu, saya menerima tempahan untuk majlis Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Seri Damai di sini, baru-baru ini.


LIJAH mengasingkan kuih akok yang sudah dimasak. - Foto Farizul Hafiz Awang

Lijah yang berasal dari Bukit Payung, Terengganu mempelajari cara membuat kuih akok Terengganu daripadanya ibunya dan cenderung menggunakan kaedah tradisional iaitu membakarnya menggunakan arang kayu api, berbanding dapur gas.

"Cara tradisional ini membuatkan kuih lebih sedap, walaupun prosesnya agak rumit tetapi berbaloi. Sarang atau acuan akok pun saya tempah khas daripada tembaga.

"Paling penting, kalau hendak kuih sedap kita harus menggunakan bahan berkualiti seperti hanya menggunakan telur gred A walaupun harganya mahal.

"Saya juga guna tepung beras yang dikisar sendiri, bukannya dibeli daripada kedai, untuk mendapatkan rasa yang lebih sedap," katanya.

INFO:

# Akok Terengganu dibuat menggunakan telur, tepung beras dan santan.

# Lazimnya, bancuhan akok disediakan pada malam sebelum dibakar supaya lebih enak atau cantik (teksturnya berkedut)

# Akok Terengganu dibakar guna dapur kayu api selama 10 minit

 

Berita Harian X