Rabu, 13 Julai 2016 | 7:19pm

Melaka sasar 25 emas SUKMA Sarawak


IDRIS (dua dari kanan) menyerahkan bendera Melaka kepada wakil kerajaan negeri, Datuk Ng Choon Koon (tiga dari kanan) pada majlis penyerahan bendera kontinjen Melaka ke SUKMA Sarawak dan sambutan Aidilfitri bersama persatuan sukan negeri di pejabat MSN, Paya Rumput, Melaka, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Kontinjen Melaka mensasarkan 25 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016, yang akan membuka tirai 22 hingga 31 Julai ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata keyakinan itu berdasar perkembangan semasa atlet dan prestasi pasukan negeri dalam acara disertai.

Katanya, sasaran berkenaan juga melebihi jumlah pencapaian kontinjen negeri itu pada saingan SUKMA Perlis dengan memperoleh 16 pingat emas dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.

"Acara balapan disasarkan akan menyumbang kepada pungutan pingat emas pada SUKMA Sarawak.

"Selain itu, kita juga mengharapkan pelari pecut muda negara, Badrul Hisham Manap memecahkan rekod kebangsaan serta beberapa pencapaian lain. Kita yakin sasaran 25 emas yang diletakkan ke atas kontinjen kali ini mampu direalisasikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bendera kontinjen Melaka ke SUKMA Sarawak dan sambutan Aidilfitri bersama persatuan sukan negeri di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) di sini, sebentar tadi.

Idris berkata, komitmen tinggi atlet yang bakal menyertai kejohanan memberi gambaran kejayaan lebih besar mampu terhasil dengan syarat fokus, baik bagi acara individu, dan berpasukan.

"Selepas sekadar meraih 16 emas pada saingan SUKMA Perlis, kontinjen kali ini cukup bersemangat untuk bangkit mengatasi jumlah itu," katanya.

Justeru, beliau mengharapkan insentif dalam bentuk wang tunai RM5,000 kepada pemenang emas, RM2,000 dan RM1,500 bagi perak dan gangsa mampu membakar semangat atlet.

Berita Harian X