Rabu, 13 Julai 2016 | 4:36pm

Elda beralih ke etnik kreatif


PENYANYI dangdut, Elda yang pernah popular menerusi lagu Yang Ku Sayang kini beralih ke genre etnik kreatif. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut, Elda yang pernah popular menerusi lagu Yang Ku Sayang kini beralih ke genre etnik kreatif sebagai pertaruhan terbaharu demi memenuhi permintaan.

Elda, 34, berkata, beliau terpanggil untuk memperjuangkan irama Malaysia selepas melihat ia seakan dipinggirkan apatah lagi kebanyakan rakan seperjuangan memilih balada mahu pun muzik kontemporari.

"Sudah lama kita tidak lihat penyanyi tempatan tampil dengan lagu etnik kreatif, jadi saya rasa tidak salah untuk memperkenalkan semula irama itu kepada pendengar.

"Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali dengan nama Pak Ngah yang juga nama besar dalam industri. Sentuhan magis dan kreatifnya menghasilkan lagu tidak dapat dinafikan.

"Tidak dinafikan karya yang dihasilkan perlu mengikut cita rasa pendengar sekali gus sebagai hadiah buat peminat yang menyokong kerjaya seni saya dari dulu hingga sekarang," katanya.

Meskipun begitu, Elda menjelaskan tidak akan melupakan irama dangdut yang pernah mempopularkannya satu ketika dulu.

Baginya, percubaan terbaharu dalam irama etnik kreatif antara langkah ke arah penyanyi versatil.

Terdahulu, penyanyi berasal dari Johor itu pernah merakamkan dua album, Yang Ku Sayang pada tahun 1997 diikuti Semakin Sayang dua tahun kemudian.

Elda membuat kemunculan semula menerusi program Dangdut Star yang turut menampilkan Felix, Zizi, Aishah, Rojer atau Mohd Rozaidy Shukry, Fitri, Zarith, Wanie, dan Fiesha.

14 dibaca
Berita Harian X