Rabu, 13 Julai 2016 | 12:40pm
Ketua Trafik Unit Penguatkuasaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara Bukit Aman, Asisten Superintendan Mohd Hazil Reza Mohd Ghazali (kiri) bertanyakan sesuatu kepada dua pemandu lori yang ditahan positif dadah. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Polis trafik tanya penumpang cara pemanduan pemandu


Ketua Trafik Unit Penguatkuasaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara Bukit Aman, Asisten Superintendan Mohd Hazil Reza Mohd Ghazali (kanan) memberi penerangan kepada penumpang bas. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

TAIPING: Susulan rempuhan bas ekspres ke atas 10 kereta di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Ipoh beberapa hari lalu, polis trafik menggunakan pendekatan bertanyakan terus kepada penumpang cara pemandu mengendalikan kenderaan yang mereka naiki.

Melalui cara itu, anggota trafik bertanyakan kepada penumpang cara pemandu mengendalikan bas, sama ada memandu secara berhemah atau sebaliknya.

Kaedah itu digunakan dalam operasi khas pemeriksaan kenderaan terutama bas ekspres dan kenderaan perdagangan di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Bukit Gantang hala selatan, dekat sini malam tadi.

Ketua Trafik, Unit Penguatkuasaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara Bukit Aman, Asisten Superintendan Mohd Hazil Reza Mohd Ghazali berkata, tindakan itu dibuat bagi memudahkan pihaknya mengenalpasti pemandu yang memandu secara bahaya dan cuai.

Katanya, maklum balas penumpang penting sekali gus memudahkan tugas pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selain dapat melaksanakan tindakan pencegahan dan mengelak bahaya di jalan raya.

"Dalam operasi ini, dua bas dan tiga lori dikesan memandu secara berbahaya iaitu melebihi had laju yang ditetapkan.

"Dalam ops ini juga pihak kami menahan dua lori berikutan pemandunya tidak memiliki lesen memandu.

"Secara keseluruhan, sebanyak 30 bas dan 70 lori diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 35 saman dikeluarkan iaitu lima kesalahan memandu laju, 20 kesalahan muatan tidak kemas manakala selebihnya adalah kesalahan tiada lesen memandu dan lesen tamat tempoh," katanya pada sidang media selepas operasi khas berkenaan.

Mohd Hazil Reza berkata, setiap pemandu bas dan lori termasuk kelindan diwajibkan menjalani ujian air kencing bagi mengesan jika ada pemandu memandu kenderaan dalam pengaruh dadah sekali gus membahayakan nyawa orang lain.

"Sepanjang pemeriksaan, tiada pemandu bas dikesan memandu di bawah pengaruh dadah namun dua pemandu lor berusia 20an hingga 30an ditahan berikutan ujian air kencing yang dijalankan positif ganja," katanya.

Sementara itu, seorang pemandu lori yang ditahan kerana ujian air kencing positif ganja mendakwa dia mengambil bahan terlarang itu ketika cuti raya lalu.

Berita Harian X