Selasa, 12 Julai 2016 | 7:48pm
PRESIDEN Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Foto Surianie Mohd Hanif

ANGKASA sasar jualan produk 100 Champion bernilai RM4j

PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) menyasarkan jualan produk 100 Champion, yang merangkumi makanan dan minuman, bernilai RM2 juta hingga RM4 juta tahun ini di pasaran domestik dan eksport.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata kekuatan produk koperasi di negara ini adalah halal, selain memenuhi standard kesihatan antarabangsa.

"Kami juga akan memasarkan produk ini di pasar raya milik Aeon Big Malaysia," katanya pada sidang media pelancaran penghantaran produk 100 Champion keluaran koperasi ahli ANGKASA ke Brunei, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail.

Program produk 100 Champion mengenal pasti produk dan koperasi terlebih dulu, sebelum membangunkan produk seperti penjenamaan, status halal dan pelabelan serta urusan eksport.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, pihaknya akan menerokai pasaran Singapura selepas Brunei, yang mana kini dalam peringkat perbincangan akhir susulan lawatan rombongan ANGKASA ke negara jiran itu, baru-baru ini.

Katanya, ANGKASA juga sedang berbincang untuk mengeksport produk 100 Champion ke negara yang berpotensi seperti Korea, Jepun dan China, selain Kemboja pada tahun ini.

"Di sini, ada Pejabat Perdagangan Koperasi Asia Pasifik dan ANGKASA sedang bincang bagi menyenaraikan produk ini untuk dieksport," katanya.

Mengulas eksport ke Brunei, beliau berkata, pihaknya membuat penghantaran eksport pertama bernilai RM100,000 di bawah produk 100 Champion, merangkumi 41 produk makanan dan minuman yang dihasilkan oleh 17 koperasi.

Katanya, ANGKASA menghantar produk berkenaan kepada Koperasi Sama Kaya di negara itu, yang akan membantu untuk mengedarkan produk terbabit.

"Kami menjangka memperoleh keuntungan antara 20 peratus dan 30 peratus daripada produk bernilai RM100,000 yang dieksport," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah, yang juga Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) berkata, Pameran Perdagangan Koperasi ASEAN, Persidangan dan Padanan Perniagaan (ACOTEX) 2016 akan diadakan di Jakarta, Indonesia pada 1 hingga 4 Ogos ini.

Katanya, sebanyak 400 gerai disediakan untuk pameran itu, yang mana Malaysia diperuntukkan 36 gerai dan bakinya diagihkan kepada negara ASEAN lain, dengan sebahagian besarnya kepada Indonesia.

"Malah, kali ini ada penyertaan dari China, India, Korea, Mongolia, Palestin, Iran dan Jepun," katanya.

Berita Harian X