Selasa, 12 Julai 2016 | 3:34pm

Oxford dalam radar Mourinho


Reece Oxford.

LONDON: Jose Mourinho terus menunjukkan minat terhadap pemain muda West Ham United, Reece Oxford dengan mengarahkan pencari bakatnya menyaksikan Kejuaraan Eropah Bawah 19 tahun.

Pengurus baru Manchester United itu mengenalpasti pemain berusia 17 tahun itu sebagai pemain utamanya di masa depan dan pencari bakat kelab itu akan memerhatikan persembahannya ketika England menentang Belanda pada Jumaat ini di Jerman.

Mourinho yang mengambil alih tugas di Old Trafford secara rasmi pada Mei lalu sudah lama mengintai untuk mendapatkan khidmat Oxford dan bersedia untuk memulakan proses bidaan bernilai STG10 juta (RM52.16 juta) bagi mendapatkan pemain remaja itu.

Begitupun, West Ham dikatakan tidak berniat untuk menjual Oxford ketika mereka bersedia untuk berpindah ke Stadium Olimpik bagi memulakan kempen musim depan di bawah bimbingan Slaven Bilic.

West Ham pada musim depan akan beraksi dalam kempen Liga Europa.

Oxford ketika ini memiliki kontrak selama dua tahun bersama West Ham dan minat daripada United mungkin boleh mengubah pendirian kelab itu.

Sekali pun baru berusia belasan tahun, Oxford mampu bermain dengan baik di bahagian tengah dan pertahanan dengan sinarnya mula kelihatan apabila West Ham menyenaraikannya dalam kesebelasan utama ketika menentang Arsenal pada aksi terakhir liga, musim lalu.

Dia juga sudah menjadi pemain termuda kelab itu yang membuat penampilan pertama dalam kempen kelayakan Liga Europa musim lalu menentang FC Lusitanos dan menamatkan kempen dengan 12 penampilan. - Agensi

Berita Harian X