Selasa, 12 Julai 2016 | 1:32pm

KaMOKU tonjol bakat golongan OKU


Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr Azian TS Abdullah.

KUALA LUMPUR: Karnival Memasyarakat Orang Kelainan Upaya OKU (KaMOKU) Peringkat Kebangsaan 2016, platform terbaik mengintegrasikan golongan OKU dalam masyarakat, di samping usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran golongan berkenaan.

Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr Azian TS Abdullah, berkata penganjuran julung kali itu membolehkan orang ramai mengetahui dengan lebih dekat kemahiran dan kreativiti yang dimiliki golongan terbabit.

"Saya berharap karnival ini akan terus diperkasa dari semasa ke semasa sebagai satu langkah memasyarakat OKU selaras dengan tema 'Masyarakat Berbudi OKU Disantuni'.

"Kolaboratif ini sekali gus dapat memupuk sifat keprihatinan dan meningkatkan pengetahuan umum terhadap golongan terbabit, selain langkah mengukuhkan lagi kerjasama dengan agensi berkaitan pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan karnival berkenaan, di Dewan Dato' Razali Ismail IPG Kampus Ilmu Khas, di sini, hari ini.

Objektif karnival itu bagi mengintergrasikan OKU dalam masyarakat, memupuk sifat keprihatinan masyarakat terhadap OKU dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam mendayakan OKU.

Berita Harian X