Khamis, 13 November 2014 | 10:34am

Undang-undang mesti selaras Perlembagaan

DALAM negara yang mengamalkan Perlembagaan bertulis, mahkamah adalah badan bebas berperanan besar untuk menjaga dan memelihara Perlembagaan. Mahkamah juga bertanggungjawab mentafsir Perlembagaan.

Dalam melaksanakan peranan memelihara dan menjaga Perlembagaan tersebut, terutamanya mentafsir Perlembagaan, mahkamah mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan semua prinsip Perlembagaan 'dihidupkan' dengan 'diberikan nyawa' dengan sebaik mungkin.

Antara perkara yang membentuk prinsip Perlembagaan kita ialah sistem dualisme perundangan. Dualisme perundangan ini merujuk kepada pembahagian kuasa perundangan antara Persekutuan dan negeri. Menurut prinsip pembahagian kuasa ini, setiap satu badan perundangan mempunyai ruangnya yang tersendiri dan badan perundangan yang satu lagi tidak boleh melangkau pembahagian ini.

Perlembagaan jamin kebebasan asasi

Dalam pada itu Perlembagaan menetapkan bahawa sebarang undang-undang (termasuk undang-undang negeri) yang tidak selaras dengan Perlembagaan adalah tidak sah. Prinsip ini bagi menyatakan sifat keluruhan Perlembagaan berbanding undang-undang lain. Berkaitan, Perlembagaan menjamin kebebasan asasi dan kebebasan asasi ini juga antara prinsip asas Perlembagaan.

Walaupun begitu faham harfiahnya, sebarang ketidakselarasan antara undang-undang negeri dan Perlembagaan ini bukan semudah itu untuk diputuskan. Dalam keadaan ini bagi menentukan sesuatu undang-undang negeri itu tidak sah atas sebab ia tidak selaras dengan Perlembagaan, mahkamah perlu membuat tafsiran kepada peruntukan berkaitan yang menjadi pokok persoalan.

Dalam membuat tafsiran itu, metodologi tafsiran yang diguna pakai oleh mahkamah hendaklah satu metodologi yang memberi faham dan mengambil kira keseluruhan peruntukan Perlembagaan, bukan memberi tumpuan kepada satu peruntukan atau satu bahagian peruntukan saja.

Peruntukan Perlembagaan tidak boleh dibaca dan difaham secara berasingan. Tetapi, semua peruntukan Perlembagaan tersebut hendaklah diselaras dengan semua peruntukan lain. Satu peruntukan Perlembagaan harus ditafsirkan dan dianggap sebagai sebahagian daripada Perlembagaan itu sendiri dan ia perlu diberi makna dan aplikasi yang tidak berkonflik antara satu sama lain.

Apabila ada dua peruntukan yang dilihat secara harfiah seolah-olah bercanggah, peruntukan berkenaan harus ditafsirkan sedemikian rupa dengan memberi kuat kuasa kepada kedua-duanya. Jika diteliti prinsip ini dalam kes membabitkan persoalan tafsiran Perlembagaan, beberapa rumusan boleh dibuat.

Antaranya ialah, (1) keputusan mahkamah mengenai tafsiran Perlembagaan hendaklah mengelakkan daripada menyebabkan dua 'kepala' percanggahan bertembung. 'Pertembungan' itu tidak boleh dilihat sebagai 'pertentangan', tetapi hendaklah diselaraskan. (2) Mahkamah hendaklah 'mendamaikan' atau 'mengharmonikan' mereka.

Bukan pendekatan harmoni

(3) Sekiranya mahkamah tidak dapat mendamaikan peruntukan terbabit, mahkamah harus mentafsirkannya dengan memberikan peruntukan tersebut kesan yang sebaik mungkin. (4) Mahkamah juga harus ingat bahawa tafsiran yang mengurangkan maksud satu peruntukan akan mematikan peruntukan berkenaan dan itu bukan pendekatan harmoni.

(5) Apabila mahkamah menyelaraskan peruntukan berkenaan ia bukan bertujuan memusnahkan mana-mana peruntukan undang-undang atau untuk membuat peruntukan itu tidak berguna, tetapi bertujuan menerima pakai semua peruntukan Perlembagaan.

Prinsip ini disebut oleh hakim yang arif dalam kes Phang Cheng Hock. Walaupun isu berbeza, keputusan kepada kes Phang Cheng Hock ini sangat penting untuk memberikan 'kehidupan' kepada setiap patah peruntukan Perlembagaan dengan pendekatan tafsiran 'pengharmonian.'

Sekiranya prinsip atau pendekatan tafsiran ini diambil perhatian sewajarnya, kita mungkin dapat melihat keputusan berbeza dalam penghakiman Mahkamah Rayuan yang membabitkan kebebasan asasi dalam soal transgender pada 7 November lalu.

Sebagai rumusan, apabila kita bercakap mengenai peranan mahkamah untuk memelihara Perlembagaan, ini bukan bermaksud mahkamah hanya menjaga kebebasan asasi saja. Mahkamah memainkan peranan besar untuk menjaga keseluruhan prinsip dan pengisian Perlembagaan itu sendiri, termasuklah sistem dualisme perundangan yang juga menjadi prinsip asas Perlembagaan.

Dengan kata lain, prinsip asas Perlembagaan bukan semata-mata kebebasan asasi. Sekiranya mahkamah gagal menjaga kesemua prinsip dan asas Perlembagaan, dan juga tidak dapat, dengan bijaksana, mengimbangi kepentingan prinsip asas itu, maka mahkamah akan gagal dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga dan memelihara Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara serta undang-undang yang membentuk asas negara.

Justeru, tidak boleh tidak, mahkamah hendaklah bijaksana dalam mengimbangi kepentingan semua prinsip asas yang membentuk Perlembagaan. Mahkamah tidak boleh melebihkan satu peruntukan daripada yang lain kerana ia akan mengecewakan Perlembagaan itu sendiri.

Penulis ialah Felo Utama, Pusat Kajian Syariah Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X