Isnin, 11 Julai 2016 | 12:13am
SHARNAAZ, pemenang Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular pada ABPBH 29 dengan gaya tersendiri ketika mengadakan latihan.
SHARNAAZ melabur sehingga RM100,000 bagi membuka pusat kecergasan atau gimnasium yang diberi nama Sharnaaz Ahmad Fitness Centre.
SHARNAAZ tak kisah untuk berhabis duit demi menjaga badan.

Sharnaaz buat badan ikut keperluan watak

SEJAK enam tahun lalu, Sharnaaz Ahmad, yang juga pemenang Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular dimenanginya pada ABPBH 29, sudah berjinak-jinak dengan sukan kecergasan atau bina badan.

Malah kecintaan kepada terhadap dunia kecergasan, mendorong Sharnaaz melabur sehingga RM100,000 bagi membuka pusat kecergasan atau gimnasium yang diberi nama Sharnaaz Ahmad Fitness Centre di ibu kota dibuka sejak 2015.

Namun, pelakon yang pernah diberi mandat sulung mengacarakan program Gempak Superstar di sisi Scha Alyahya itu, mengakui rutin kecergasannya berlaku secara turun naik.


SHARNAAZ sudah berjinak-jinak dengan sukan kecergasan atau bina badan sejak enam tahun lalu.

Namun, menyedari dunia kecergasan kini sudah menjadi gaya hidup, selain tuntutan untuk tampak menarik di arena seni, Sharnaaz adalah antara artis yang tak kisah untuk berhabis duit menjaga badan.

"Badan saya ini memang senang naik dan turun. Jika ada komitmen seni, contohnya ketika ini saya terbabit dalam penggambaran filem Jebat, saya sudah kembali ke rutin senaman sejak Mei lalu.

"Stamina dalam berlakon juga perlu. Saya tak boleh ambil mudah kerana tuntutan jadual kerja lakonan yang mengambil masa panjang memerlukan saya kekal bertenaga," katanya.

Shahnaaz berkata, setiap kali mempunyai sasaran bentuk badan tertentu yang ingin diperoleh, dia akan lebih kerap menghabiskan masa di gimnasium.

"Ada kalanya saya ke gim lima hari seminggu dengan setiap sesi bersenam mencapai 90 minit. Seperti ditekankan ramai, peratusan apa yang kita makan itu perlu dijaga betul-betul dan selebihnya sekitar 30 peratus bergantung kepada senaman.

"Saya pun ada kalanya susah untuk menjaga diet tetapi kalau mahu capai bentuk badan yang diingini, saya nekad mematuhinya termasuk elak makanan berminyak dan bergula.


SHARNAAZ melakukan senaman bagi mengekalkan stamina selain dapat menjaga bentuk badan.

"Saya elak minuman bergas dan lebihkan jus buah-buahan semula jadi sambil imbangi pengambilan protein seperti ayam dan ikan," katanya.

Sharnaaz yang kini berusaha membesarkan lagi otot tubuh badannya, mengakui bahagian perutnya paling sukar dibentuk.

"Saya pula memang jenis genetik bahagian perut cepat naik, jadi saya kena jaga dan kawal makan jika mahu badan yang cantik. Orang kata kecantikan itu datang daripada kesakitan. Nak badan cantik secara semula jadi kenalah bersusah-susah dahulu," katanya.

Mengulas perkembangan gimnasium kendaliannya, Sharnaaz berkata, pusat kecergasan itu lebih berpaksikan hobi dan kepuasan diri.

"Saya buka gim ini bukan nak fikir untung sangat, sebaliknya puas hati apabila melihat orang lain turut bersenam kerana ia umpama motivasi buat diri sendiri.

"Berikutan itu, bayaran masuk yang dikenakan tidak mahal. Saya percaya hanya orang yang begitu dedikasi jaga badan sahaja mungkin akan rasa semangat lihat orang lain turut bersenam juga

"Biar badan sihat, otak pun akan cergas nak buat kerja. Saya rasa sekarang ini juga faktor masa bukan lagi alasan untuk tidak bersenam. Alasan akan tetap jadi alasan, semuanya bertitik tolak kepada diri sendiri," katanya.

52 dibaca
Berita Harian X