Ahad, 10 Julai 2016 | 12:17pm
IVAN Lendl dan John McEnroe (kanan). - Foto Reuters

Jurulatih legenda sandaran Murray, Raonic

LONDON: Andy Murray memburu gelaran Wimbledon kedua hari ini apabila berdepan pakar servis kencang Milos Raonic, tetapi jurulatih legenda Ivan Lendl dan John McEnroe mungkin menjadi kunci kepada pertemuan itu.

Pemain nombor dua dunia, Murray dalam usaha menambah koleksi kejuaraannya selepas meraih kemenangan di Terbuka Amerika Syarikat 2012 dan Wimbledon 2013 - di mana kedua-dua kejayaan itu diraih ketika Lendl pertama kali melatihnya.

"Saya fikir ia membantu. Saya juga rasa dalam situasi sebegini, ia mampu mencetuskan perbezaan," kata Murray mengenai pengaruh Lendl yang memenangi lapan gelaran major walaupun tidak pernah menjuarai Wimbledon.

"Maklumat yang saya dapat daripadanya, bantuan psikologi yang saya dapat daripadanya, dapat berbincang dengannya di kejohanan seperti ini sebelum perlawanan penting, ia sebenarnya dapat memberikan perubahan.

"Saya rasa kami gandingan yang bagus. Kami saling mempercayai antara satu sama lain."

Murray kembali mendapatkan khidmat Lendl pada musim panas ini selepas mengambil haluan masing-masing pada tahun 2014.

Raonic, pemain Kanada pertama mara ke final Grand Slam mula bergandingan dengan McEnroe hanya untuk musim gelanggang permukaan rumput.

Tatkala Lendl tenang berada di kotak pemain, McEnroe bergelut membahagikan masa antara keperluan Raonic dan juga tugasnya di siaran televisyen.

Ketika Raonic menewaskan Roger Federer di separuh akhir, McEnroe sedang mengulas perlawanan berkenaan untuk BBC dari kotak pengulas perlawanan di Centre Court.

"Di akhirnya, saya dapat memenangi Wimbledon. Siapa peduli?" kata pemain berusia 25 tahun itu ketika ditanya sama ada dia bimbang dengan tanggungjawab media McEnroe. - AFP

Berita Harian X