Ahad, 10 Julai 2016 | 12:39am
NORAKHADAH menunjukkan lemang jagung, pulut hitam dan kacang yang telah siap dimasak dan sedia untuk dipasarkan di Taman Seri Jeram, Masjid Tanah. - Foto Nazri Abu Bakar
NORAKHADAH dan suaminya, Che Rimi Husin menunjukkan antara bahan penyediaan lemang aneka rasa iaitu jagung, pulut hitam dan kacang. - Foto Nazri Abu Bakar
NORAKHADAH menyediakan daun pisang untuk membuat lemang aneka rasa. - Foto Nazri Abu Bakar

Lemang daging kicap dan durian jadi kelainan Aidilfitri

MELAKA: Selain ketupat, lemang adalah antara juadah wajib yang menjadi pembuka selera bagi menikmati sajian tradisional di musim perayaan.

Menyuntik kelainan, Norakhadah Yatimin, 43 dari Taman Seri Jeram, Masjid Tanah, di sini, mengolah hidangan lemang tradisional dengan teknologi serta inovasi yang lebih kreatif tetapi masih lagi mengekalkan rasa enak.

Dibantu suaminya, Che Rimi Husin, 46, pasangan itu mula mengusahakan pelbagai jenis lemang durian, kacang, daging kicap, jagung dan pulut hitam sejak kira-kira lima tahun lalu.


NORAKHADAH memotong lemang jagung, pulut hitam dan kacang yang telah siap dimasak. - Foto Nazri Abu Bakar

Apa yang menarik ia bukan sekadar faktor rasa, sebaliknya teknik pembuatan lemang masih diadun dengan bahan asli dan berkualiti bagi memastikan keenakan dan aroma lemang yang tersendiri.

"Idea menghasilkan lemang aneka ini bermula pada 2011 selepas menghadiri kursus anjuran agensi kerajaan di Selangor sebelum memutuskan mengusahakan perniagaan ini secara komersial.

"Siapa sangka, lemang aneka ini memberi keunikan dan rasa tersendiri terutama kepada penggemar lemang," katanya.

Beliau berkata, tempoh menghasilkan lemang aneka itu hanya mengambil masa kira-kira dua jam, berbanding kira-kira empat jam bagi penyediaan lemang tradisional.

Katanya, penyediaan lemang tradisional juga perlu bijak mengawal api bagi mengelak lemang hangus dan tidak masak dengan sekata.


NORAKHADAH mengolah hidangan lemang tradisional dengan teknologi serta inovasi lemang yang lebih kreatif tetapi masih lagi mengekalkan rasa enak. - Foto Nazri Abu Bakar

Bercerita lanjut mengenai pembuatan lemang istimewa itu, Norakhadah berkata, dia hanya menggunakan silinder khas dan dapur berharga RM5,000 seunit, tetapi masih mampu menyediakan lemang sedap, enak dan rasa asli.

"Setakat ini saya memiliki dua dapur khas dengan menggunakan gas tanpa perlu mengawal api, cukup sekadar memastikan suhu yang sesuai dengan hidangan yang disediakan. Yang penting saya hanya membakarnya di dapur rumah sahaja.

"Konsep penyediaannya tetap sama seperti lemang yang dibakar termasuk penyediaan beras pulut santan dan garam selain daun pisang untuk alas isi lemang berkenaan," katanya.

Katanya, sebatang lemang jagung, nangka dan kacang dijual pada harga RM18, lemang pulut hitam RM14, manakala lemang durian dan lemang daging kicap RM30 sebatang.

Sementara itu, Che Rimi berkata, kebiasaannya tempahan untuk lemang istimewa itu akan meningkat mendadak pada penghujung Ramadan sehingga akhir Syawal.


LEMANG adalah antara juadah wajib yang menjadi pembuka selera bagi menikmati sajian tradisional di musim perayaan. - Foto Nazri Abu Bakar

"Produk inovasi ini adalah jalan penyelesaian untuk mengelak daripada bergantung kepada sumber buluh semata-mata. Selain lebih cepat disediakan, rasanya serta teknik pembuatan masih lagi sama.

"Saya bersedia untuk mengajar mana-mana pihak yang berminat untuk menceburi bidang ini atau membuka cawangan lemang aneka rasa ini," katanya.

INFO:

- Untuk lemang jagung dan pulut hitam, semua bahan utama termasuk santan perlu digaul bersama sebelum dimasukkan ke dalam silinder acuan lemang yang dibaluti daun pisang.

- Bagi lemang nangka, isinya perlu dihiris halus sebelum dimasukkan ke dalam silinder berbentuk acuan lemang yang dibaluti daun pisang.

- Lemang daging mengambil sedikit masa kerana daging kicap perlu dimasak sebelum digaul bersama pulut serta santan dan dimasukkan ke dalam silinder acuan lemang yang dibaluti daun pisang.

Berita Harian X