Khamis, 7 Julai 2016 | 11:21pm
MAYAT remaja warga Arab Saudi, Alahmadi Hussain Fuada ditemui pasukan scuba bomba di Tasik Dayang Bunting, Langkawi, petang ini. - Foto Ihsan Bomba

Pelancong Arab Saudi lemas di Tasik Dayang Bunting

LANGKAWI: Percutian sebuah keluarga dari Arab Saudi berakhir tragedi apabila seorang ahli keluarga mereka ditemui lemas di Tasik Dayang Bunting, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, mangsa Alahmadi Hussain Fuada, 19, dipercayai tergelincir dan terjatuh ke tasik sedalam 30 meter dari pelantar terapung, lalu lemas.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yaakob Hassan, berkata remaja lelaki terbabit tiba bersama ahli keluarganya di tasik itu untuk mandi.

Beliau berkata, sebaik tiba di situ, keluarga mangsa dikatakan bergurau senda di atas pelantar terbabit sebelum seorang daripada mereka tergelincir dan terjatuh ke dalam air.

Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian kira-kira jam 5.39 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan scuba bomba melakukan selaman dan menemui mayat mangsa pada kedalaman 30 meter sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Mayat kemudian dihantar oleh pihak polis ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat," katanya.

Berita Harian X