Khamis, 7 Julai 2016 | 12:13am
KELUPIS sering dimakan bersama kuah kacang, ayam masak merah dan rendang. - Foto Mohd Nazllie Zainul
KELUPIS yang sudah siap dibungkus dan diikat menggunakan tali supaya bungkusan tidak mudah terbuka. - Foto Mohd Nazllie Zainul
DAUN irik sering digunakan untuk membungkus kelupis kerana rasanya lebih enak dan mudah disediakan. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Kelupis menu wajib Aidilfitri di Sabah


KUALA PENYU: Kelupis, makanan tradisional dihasilkan menggunakan beras pulut dan santan yang begitu sinonim dengan masyarakat di pantai barat Sabah, khususnya etnik Brunei.

Makanan tradisi itu adalah hidangan wajib masyarakat berkenaan setiap kali mengadakan kenduri, majlis perkahwinan dan juadah istimewa ketika Aidilfitri mahupun Aidiladha.

Tanpa hidangan itu, majlis dianggap tidak lengkap dan sebab itu masyarakat etnik Brunei di Sabah menjadikan acara 'mengelupis' atau membuat kelupis sebagai aktiviti utama sebelum sesuatu majlis diadakan, khususnya kenduri.

Menjelang Aidilfitri, ahli keluarga pula biasanya menyiapkan kelupis secara bergotong-royong, sama seperti masyarakat di Semenanjung menyediakan ketupat mahupun lemang.

Proses penghasilannya perlu melalui beberapa peringkat kerana ia mempunyai makna tersendiri yang dikaitkan dengan perpaduan dan keakraban sesama ahli keluarga atau penduduk kampung.

Antara daerah yang terkenal dengan juadah kelupis termasuklah Membakut, Menumbok, Kuala Penyu, Papar dan Sipitang.

KELUPIS adalah makanan tradisional dihasilkan menggunakan beras pulut dan santan yang begitu sinonim dengan masyarakat di pantai barat Sabah, khususnya etnik Brunei. - Foto Mohd Nazllie Zainul

KELUPIS adalah hidangan wajib masyarakat di pantai barat Sabah, khususnya etnik Brunei setiap kali mengadakan kenduri, majlis perkahwinan dan juadah istimewa ketika Aidilfitri mahupun Aidiladha. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Jika dilihat secara kasar, penyediaan kelupis terlihat mudah namun hakikatnya ia perlu dimasak antara lima hingga tujuh jam untuk disiapkan sebelum sedia dimakan.

Penduduk Kampung Kerukan, Kuala Penyu, Haisah @ Dayang Sarudin, 68, berkata proses membuat kelupis bermula dengan kerja mengupas dan memarut kelapa bagi mendapatkan santan, mencuci beras pulut, memasak, membungkus dan mengukus.

Beliau berkata, beras pulut yang sudah dicuci sehingga bersih digaul bersama santan yang sudah dimasak.

"Santan perlu dimasak terlebih dahulu supaya kelupis boleh disimpan lama. Selepas itu, beras pulut yang sudah disatukan bersama santan perlu dikukus separuh masak sebelum dibungkus.

"Kemudian, beras pulut ini dibungkus menggunakan daun irik atau daun kelapa namun ramai lebih gemar membungkus menggunakan daun irik kerana rasanya lebih enak dan mudah disediakan.

"Kelupis yang sudah dibungkus seterusnya diletakkan dalam pengukus untuk melalui proses pengukusan selama satu hingga sejam setengah bergantung beras pulut yang digunakan," katanya.

KELUPIS yang sudah dibungkus seterusnya diletakkan dalam pengukus untuk melalui proses pengukusan selama satu hingga sejam setengah. - Foto Mohd Nazllie Zainul

HAISAH menunjukkan kelupis yang sudah siap dimasak dan sedia dihidangkan kepada tetamu. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Haisah berkata, kelupis boleh bertahan lama sekiranya dimasak dengan betul dan disimpan di dalam peti sejuk.

"Saya sering menyediakan hidangan ini apabila mengadakan kenduri kesyukuran, sambutan Aidilfitri dan Aidiladha. Walaupun turut memasak pelbagai juadah nasi lain, tetapi kelupis sentiasa menjadi pilihan utama tetamu yang berkunjung ke rumah.

"Kelupis sering dimakan bersama kuah kacang, ayam masak merah dan rendang," katanya yang sering menyediakan kelupis bersama anak perempuannya.

Katanya, beliau biasanya memasak antara lima hingga enam kilogram beras pulut untuk dijadikan kelupis pada setiap kali perayaan kerana makanan terbabit menjadi pilihan ahli keluarga dan tetamu berbanding makanan lain.

"Kelupis juga enak dimakan begitu saja bersama minuman panas atau kopi kosong," katanya.

DAUN irik.

INFO

Bahan membuat kelupis (untuk menghasilkan kira-kira 100 biji kelupis bersaiz kecil)

  • Segantang atau 4 kg beras pulut.
  • Lima biji kelapa tua yang diparut dan diperah santan.
  • Daun silad atau palas.
  • Garam.
  • Kawah untuk memasak santan dan pulut.
  • Periuk pengukus.

BERAS pulut yang sudah disatukan dengan santan perlu dimasak separuh masak sebelum dibungkus. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Cara penyediaan:

1. Masak santan sehingga keluar minyak selama sejam.

2. Masukkan beras pulut, santan dan garam secukup.

3. Selepas setengah jam, pulut dibungkus dengan daun silad atau palas.

4. Kemudian, kukus atau rebus pulut yang sudah dibungkus selama dua jam.

5. Daun silad berubah ke warna gelap menandakan ia sudah masak dan siap untuk dihidangkan.

Berita Harian X