Rabu, 6 Julai 2016 | 6:48pm

Rumah Terbuka MB Pahang meriah


TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Kira-kira 14,000 penduduk pelbagai kaum dari daerah ini hadir pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek, dekat sini, hari ini.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anak-anak mereka turut hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Majlis itu adalah acara tahunan anjuran Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan semua EXCO kerajaan negeri.

Adnan ketika ditemui media pada majlis itu berkata, penganjuran rumah terbuka adalah tradisi yang perlu dikekalkan bagi memastikan keharmonian hubungan antara kaum di negara ini terus utuh.

"Saya percaya, melalui majlis seperti ini adalah sangat bagus untuk dijadikan tempat semua bangsa dan agama berkumpul bersama-sama dan berkongsi kemeriahan sambutan Aidilfitri.

"Maknanya, kita perlu sentiasa cari jalan untuk memastikan hubungan antara kita terus terpelihara dan ini penting bagi memastikan tidak ada kejadian yang tidak diingini seperti berlaku di negara lain, berlaku di negara yang kita sayang ini.

"Saya juga sangat berbesar hati atas kesudian Tengku Mahkota (Tengku Abdullah) dan Tengku Puan Pahang (Tunku Azizah) yang sudi menghadiri majlis ini dan ini bukti jelas bahawa beliau ada seorang yang sangat berjiwa rakyat dan sentiasa meluangkan masa untuk turun padang berjumpa dengan rakyat jelata," katanya.

Seramai 60 anak yatim dari Rumah Anak-anak Yatim Sultanah Hajjah Kalsom turut menerima sumbangan yang disampaikan Tengku Abdullah pada majlis berkenaan.

Majlis yang bermula jam 10 pagi itu berakhir kira-kira jam 4 petang.

Pelbagai juadah tradisi seperti ketupat, lemang, sate dan opor daging disediakan kepada tetamu yang hadir.

Berita Harian X