Rabu, 6 Julai 2016 | 1:42pm

Anggota ATM dirai dalam jamuan Aidilfitri


PEGAWAI dan anggota tentera Batalion ke-4 Rejimen Sempadan mengambil juadah hari raya di Majlis Sambutan Hari Raya dan Jamuan Raya yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zindi Pos Tok 'O, Rantau Panjang. - Foto Syamsi Suhaimi

RANTAU PANJANG: Seramai 100 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan dirai dalam jamuan Aidilfitri di sini, hari ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, hadir meraikan anggota pada majlis yang diadakan di Pos To' O, di sini.

Zulkifeli berkata, majlis sambutan Aidilfitri itu diadakan bagi meraikan anggota tentera yang bertugas.

"Saya bersyukur semua berjalan dengan lancar dan di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya kepada warga ATM yang melaksanakan operasi tidak kira dalam negara mahupun di luar negara.

"Beraya tanpa keluarga tersayang adalah satu pengorbanan besar anggota demi menjaga keamanan dan keselamatan negara," katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Medan Tentera Darat, Datuk Seri Zulkipli Kassim.

Zulkifeli berkata, semalam beliau membuat lawatan ke 23 pos di kawasan Ops Wawasan dari Pengkalan Kubor ke Rantau Panjang.

"Saya berpuas hati dengan kawalan anggota di setiap kawasan kerana mereka juga sudah melipat gandakan tahap kewaspadaan dan keselamatan lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri.

"Kita akan sentiasa bersiap siaga kerana bimbang mungkin ada anasir-anasir yang tidak baik dan boleh memudaratkan keselamatan negara," katanya.

Pada majlis berkenaan, Zulkifeli turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri dan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama anggota.

Berita Harian X