Selasa, 5 Julai 2016 | 6:01pm

Rakyat perlu jadi mata telinga kerajaan halang IS


PANGLIMA Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

RANTAU PANJANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperketatkan kawalan terutama di kawasan sempadan bagi menangani kumpulan militan Negara Islam (IS), di negara ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata isu ancaman IS tidak boleh dipandang mudah dan setiap pihak perlu mengambil berat perkara itu.

"Ancaman IS boleh berlaku di mana saja bukan hanya di sempadan tetapi juga di lapangan terbang melalui penyamaran.

"Rakyat penting sebagai mata dan telinga kerajaan untuk membantu pihak berkuasa menangani isu ini dan perlu melaporkan kepada polis atau ATM jika melihat apa-apa yang mencurigakan," katanya pada sidang media di Pos Ibrahim Pencen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke kawasan sempadan sempena Ops Wawasan dan memberi sumbangan Aidilfitri kepada anggota yang bertugas di kawasan terbabit.

Zulkifeli berkata, kes letupan bom tangan di pusat hiburan di bandar Puchong baru-baru ini adalah amaran untuk pihak keselamatan berjaga-jaga dan memastikan supaya kes seperti itu tidak berulang.

"Polis mengesahkan kejadian bom itu dan saya berharap semua pihak akan terus peka dan tidak menganggap isu ini sesuatu yang biasa. Sekali sudah terkena, boleh jadi negara kita menjadi sasaran lagi.

"Saya menasihatkan kepada anggota ATM yang bertugas di sempadan untuk terus meningkatkan kawalan dan tinjauan bagi keselamatan semua.

"Sepanjang lawatan, kawasan operasi dalam keadaan baik. Saya berpuas hati dengan tahap kawalan anggota," katanya.

Berita Harian X