Selasa, 5 Julai 2016 | 2:33pm

Lelaki Thai mengaku salah miliki pistol, peluru


SIWA Senyeeheem mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di SHah Alam, hari ini, atas dua pertuduhan masing-masing memiliki sepucuk pistol jenis Pietro Beretta, satu kelopak dan 15 butir peluru di Bukit Kayu Hitam, minggu lalu. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Seorang lelaki warga Thailand mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan masing-masing memiliki sepucuk pistol jenis Pietro Beretta, satu kelopak dan 15 butir peluru di Bukit Kayu Hitam, minggu lalu.

Tertuduh, Siwa Senyeeheem, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Zulhazmy Abdullah, selepas pertuduhan dibaca jurubahasa dalam bahasa Thailand.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Siwa ketika menunggang motosikal jenis Stallions dengan nombor pendaftaran Thailand 193, dituduh memiliki pistol jenis Pietro Beretta bersama satu kelopak tanpa kebenaran sah dari mana-mana pihak.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh ketika menunggang motosikal jenis sama dituduh memiliki 15 butir peluru 9 mm Thai Arms tanpa lesen atau tanpa kebenaran sah dari mana-mana pihak.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di sekatan jalan raya kilometer (km) 1.3 Lebuhraya Utara-Selatan di Bukit Kayu Hitam, dari arah Thailand menuju ke negara ini kira-kira 9 malam, 28 Jun lalu.

Bagi kesalahan pertama, Siwa dituduh mengikut Seksyen 8 Akta Senjataapi (Penalti Lebih Berat) 1971, manakala bagi kesalahan kedua dia dituduh mengikut Sekyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Hakim bagaimanapun menetapkan 7 Ogos ini bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan balistik.

Prosiding kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Savinder Singh.

Berita Harian X