Selasa, 5 Julai 2016 | 2:12pm

Nahas maut: Pemandu lori ditahan reman 4 hari


SEORANG pemandu lori tiga tan berusia 24 tahun direman selama empat hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Kuala Krai, berhubung kemalangan menyebabkan tujuh sekeluarga maut dalam kejadian di Kilometer 12, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berdekatan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok, Gua Musang. - Foto Muhd Faris Zainuldin

KUALA KRAI: Seorang pemandu lori berusia 24 tahun direman empat hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan jalan raya di Gua Musang, semalam.

Kemalangan itu menyebabkan tujuh sekeluarga maut dalam kejadian di Kilometer 12 , Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok, Gua Musang, kira-kira jam 1.20 pagi.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Amar Razim Alias di Mahkamah Majistret Kuala Krai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata siasatan awal mendapati pemandu berkenaan cuai.

"Kita akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui punca sebenar," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian itu, sebuah lori merempuh tiga kenderaan menyebabkan tujuh sekeluarga maut dan lapan yang lain cedera.

Mangsa yang maut adalah Mursyida Ahmad Latfi dan kembarnya, Munira, 29; Mohd Amin Firdaus Zakaria, 29; Nurhana Jannati, lima bulan; Norazmi Mahat, 41 dan dua anaknya, Rifqi Najwan, tiga bulan serta Raidatul Syazwina, 4.

Berita Harian X