Selasa, 5 Julai 2016 | 12:06am
SEJAK bergelar anak seni lebih tiga dekad lalu, Anuar hanya merakamkan dua lagu raya iaitu Suasana Hari Raya, dan sebuah lagu lama yang diberi nafas baharu berjudul Bersabarlah Sayang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ANUAR sibuk dengan rakaman album terbarunya yang masih mengekalkan Anuar Zain sebagai judul, sepanjang Ramadan ini. - Foto Saifullizan Tamadi
EMPAT daripada lapan lagu dalam album baharu Anuar adalah hasil ciptaan komposer dari Indonesia dan selebihnya daripada pencipta Malaysia. - Foto Saifullizan Tamadi

Anuar cerewet soal biskut raya


MENGENALI penyanyi bernama Anuar Zain, diakui beliau memang seorang yang sangat mementingkan kesempurnaan. Walaupun ada yang menganggap beliau cerewet hanya kerana bersikap sedemikian, demi kebaikan dan hasil memuaskan, Anuar tidak kisah apa kata orang terhadapnya.

Bukan saja dari segi kerja dan gaya penampilan, tetapi ia turut membabitkan soal persiapan Hari Raya. Terkejut juga apabila mendapat tahu yang Anuar sangat cerewet dalam soal membeli kuih raya. Malah, menurut khabar disampaikan kepada BH, tugas untuk membeli kuih raya itu memang diserahkan bulat-bulat kepada Anuar oleh keluarganya.

Ketika diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, tergelak besar penyanyi itu mendengarnya. Sambil mengakui kebenaran perkara terbabit, Anuar berkata beliau mahu memastikan kuih dibeli memang menepati cita rasanya.

"Setiap tahun memang tugas saya untuk membeli kuih. Keluarga saya memang sudah faham sangat dengan perangai saya. Mereka tahu, kalau orang lain yang beli dan rasanya tidak sedap, pasti saya akan membebel. Untuk mengelakkan daripada kena bebel dengan saya, maka mereka serahkan tugas membeli kuih raya kepada saya.

Anuar Zain. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Kadang-kadang, ada juga kuih yang saya beli tidak menepati cita rasa mereka, akibatnya sayalah yang kena bebel balik. Selalunya, kuih yang saya beli memang diakui kelazatannya dan dibeli daripada mereka yang pakar. Saya paling suka kuih semperit," cerita Anuar ketika menjalani sesi fotografi Hari Raya di Hotel Parkroyal Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Untuk sesi fotografi itu, adik kepada penyanyi Ziana Zain ini kelihatan segak mengenakan baju Melayu rekaan Salikin Sidek.

Sejak bergelar anak seni lebih tiga dekad lalu, Anuar hanya merakamkan dua lagu raya iaitu Suasana Hari Raya, yang dinyanyikan secara duet dengan Ellina, dan sebuah lagu lama yang diberi nafas baharu berjudul Bersabarlah Sayang. Apakah Anuar tidak teringin untuk menghasilkan sebuah album khas sempena Hari Raya?

Di Malaya sendiri, ramai artis mempunyai album bertemakan Syawal mereka sendiri, antaranya Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza. Malah, kalau dilihat di luar negara, bagaikan satu kemestian apabila penyanyi popular dan ternama mereka menghasilkan sebuah album Krismas. Tidak kiralah sama ada menyanyikan kembali lagu lama atau menghasilkan karya baharu.

ANUAR sangat cerewet dalam soal membeli kuih raya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Menjawab pertanyaan itu, penyanyi berusia 46 tahun ini berkata, jika ada peluang dan rezeki, beliau bersedia untuk menghasilkan album Hari Raya.

"Terima kasih kerana memberikan idea itu. Jika ada rezeki pada masa akan datang, mengapa tidak? Lagipun kita ada banyak lagu raya yang menarik yang boleh dirakamkan semula. Saya memang suka lagu Dendang Perantau dan lagu dendangan kumpulan Black Dog Bone, Cahaya Aidilfitri.

"Bagaimanapun, kalau saya nak hasilkan album raya, pastinya saya akan seimbangkan antara lagu sedih dan gembira. Insya-Allah kalau ada rezeki, saya akan buat," ujarnya yang akan menyambut 1 Syawal di kediaman keluarganya di Shah Alam.

Sepanjang Ramadan, Anuar berkata beliau cukup sibuk dengan rakaman album terbarunya yang masih mengekalkan Anuar Zain sebagai judul.

ANUAR akui beliau memang seorang yang sangat mementingkan kesempurnaan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Album ini mengandungi lapan lagu. Empat daripadanya adalah hasil ciptaan komposer dari Indonesia dan selebihnya daripada pencipta Malaysia. Selalunya kebanyakan lagu saya rakam dicipta komposer negara seberang. Cuma kali ini jumlahnya seimbang dan saya sangat gembira. Apa yang boleh saya katakan, kebanyakan lagu kali ini lebih menjurus kepada lagu patah hati.

"Saya pun tak tahu mengapa, tetapi mungkin disebabkan lagu sebegini ramai yang suka. Lagu rentak rancak pun tak ada. Kalau ada pun, hanyalah gubahan susunan muzik saja. Kiranya album ini lebih melankolik.

"Kalau boleh saya hendak siapkan secepat mungkin, tetapi saya tidak boleh nak janji bila album ini akan keluar? Saya takut orang tunggu dan apabila tak keluar seperti dijanjikan, marah pula mereka," katanya.

Berita Harian X