
MENYUNTIK semangat Aidilfitri yang bakal tiba, gedung tudung popular Malaysia, Galeri Ariani (Ariani) tampilkan koleksi Ariani Lebaran 2016 melalui rekaan hijab dan busana lebih segar berbanding dahulu.
Paduan warna menarik dari lebih 100 rekaan pilihan hijab dan busana daripada koleksi menarik antaranya Ariani Stockist X Siti Nurhaliza dan Ariani Sedia Pakai (RTW) boleh dijadikan pilihan untuk digayakan ketika musim perayaan serta undangan rumah terbuka.
Pengarah Pemasaran Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd, Datin Farah Haryani Muhamad Philip, berkata semua koleksi ini memberikan pengalaman penggayaan hijab dan busana penuh nilai eksklusif ketika menyambut lebaran bersama keluarga.
"Kombinasi warna, material dan cetakan lebih unik, moden serta elegan dalam setiap helaian hijab kali ini memberi kesempurnaan buat wanita ketika bergaya," katanya pada majlis pelancaran koleksi berkenaan di The St Regis Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Helaian eksklusif
Rekaan selendang dan pilihan tudung segera, merangkumi hijab polos dengan warna pastel atau menyerlah serta bercorak cetakan yang segar dan cantik.
Formulasi tudung segera untuk gaya wanita ketika musim perayaan ini mengikut kehendak dan permintaan pelanggan yang inginkan helaian hijab segera dan mudah digayakan dengan sentuhan eksklusif berupa permata Swarovski atau perincian renda berkualiti tinggi.
Sebanyak 14 koleksi Ariani Stockist X Siti Nurhaliza menarik perhatian kerana dihasilkan dengan sentuhan tiga elemen utama merangkumi eksklusif, kesopanan dan kontemporari yang menjadi nadi penstrukturan selendang serta tudung koleksi ini.
Dihasilkan daripada fabrik sifon dan satin krepe bermutu tinggi, koleksi ini didatangkan dalam pelbagai pilihan warna sesuai untuk semua peringkat umur serta boleh digayakan untuk pelbagai majlis.
Sebanyak 86 lagi koleksi tudung yang menyuntik unsur alam seperti motif dasar lautan, bunga-bungaan dan cetakan abstrak menjadi metafora dalam koleksi kali ini bagi mengembalikan pengalaman perayaan di desa tercinta.

Pelbagai pilihan warna
Selain itu Ariani turut menampilkan koleksi Tarawikh Telekung X Siti Nurhaliza yang diperbuat daripada material lembut dan selesa.
Koleksi telekung ini didatangkan dalam pelbagai pilihan rekaan dan warna menarik. Istimewanya, ia dijahit mengikut bentuk muka di pemakai
Koleksi Sedia Pakai (RTW) pula mengangkat tema Glam Lebaran, mengangkat unsur atmosfera glamor yang menyerlahkan lagi sisi kewanitaan pelanggan.
Bersesuaian konsep RTW, koleksi berciri sederhana, elegan dan eksklusif dengan pelbagai pilihan warna yang diharapkan menjadi bingkisan istimewa buat pelanggan supaya dapat bergaya dengan busana eksklusif pada harga mampu milik.
Terdapat juga koleksi premium untuk pelanggan yang gemarkan rekaan mewah. Malahan, koleksi saiz besar juga dihasilkan atas permintaan pelanggan.

INFO
- Lebih 100 koleksi dipersembahkan merangkumi tudung segera, telekung dan busana RTW
- Harga mampu milik sekitar RM69 sehingga RM200++
- Sudah boleh didapati bermula 25 Mei lalu di stokis berdaftar dan cawangan Galeri Ariani seluruh Malaysia