Isnin, 4 Julai 2016 | 10:33pm

Ibu, anak parah kemalangan tiga kenderaan

KEADAAN kereta jenis Honda Jazz yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 28.8 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) tengah hari tadi. - Foto ihsan pembaca

SEPANG: Seorang ibu dan bayi lelakinya berusia lapan bulan cedera parah manakala empat lagi mangsa cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 28.8 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) tengah hari tadi.

Kejadian kira-kira jam 1.33 tengah hari itu berlaku apabila sebuah treler dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Putrajaya hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Jurucakap polis berkata, treler itu kemudian merempuh sebuah lori serta kereta jenis Honda Jazz yang dinaiki tiga sekeluarga yang dalam perjalanan menuju ke arah KLIA.

Katanya, kejadian itu menyebabkan penumpang Honda Jazz, Nur Izdihar Ishak, 28, mengalami kecederaan parah dan bayinya, Muhmad Aisy Farhan Abdul Muhaimin, retak tulang rusuk.

"Empat lagi mangsa iaitu Pemandu Honda Jazz, Abdul Muhaimin Yahaya, 29; pandu treler, Mohd Azlan Sharif Budi, 33; pemandu lori, Mohd Firdaus Mohd Thohir, 31 dan kelindannya, Abdul Rashid Mohamad, 37, hanya cedera ringan.

"Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya bagi menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kejadian itu juga menyebabkan kesesakan lebih lima kilometer di kedua-dua arah.

Berita Harian X