Isnin, 4 Julai 2016 | 9:04pm

Maybank perluas aplikasi perbankan mudah alih ke Kemboja

KUALA LUMPUR: MAYBANK memperluaskan aplikasi perbankan mudah alihnya ke Kemboja, menjadikannya bank pertama di negara itu yang menawarkan aplikasi dengan bacaan kod Respons Pantas (QR) dan realiti yang diperluas.

Pengenalan kemudahan itu susulan pertumbuhan berterusan dalam perkhidmatan perbankan internet di Kemboja dan kejayaan pengenalan aplikasi sama di Malaysia pada 2014.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, Datuk Lim Hong Tat, berkata perbankan internet menarik minat penggemar digital dalam kalangan rakyat Kemboja yang kini semakin selesa melakukan transaksi secara aplikasi dalam talian.

Katanya, penggunaan telefon mudah alih di Kemboja berkembang pesat dalam tempoh beberapa tahun lalu, dengan hampir 24.2 juta pelanggan sambungan mudah alih dicatatkan sehingga Januari 2016 di negara 15 juta penduduk itu.

Selain itu, beliau berkata, terdapat kira-kira lima juta sambungan internet aktif di negara berkenaan.

"Saluran perbankan dalam talian Maybank, iaitu M2U, yang diperkenalkan di Kemboja pada 2012 menyaksikan pertumbuhan mantap.

"Asas pengguna berdaftar meningkat lebih 50 peratus dalam tempoh setahun, manakala jumlah urus niaga meningkat lebih 50 peratus dari 2014 hingga 2015," katanya pada majlis pelancaran aplikasi baharu itu di Phnom Penh, baru-baru ini.

Hong Tat berkata, dengan pelancaran satu-satunya aplikasi Perbankan Mudah Alih di Kemboja, pelanggan akan menikmati pengalaman yang dipertingkatkan dan transaksi perbankan yang pantas menerusi telefon mudah alih mereka.

Katanya, dengan aplikasi perbankan mudah alih, pelanggan Maybank boleh menyemak baki akaun, termasuk semua pembelian menggunakan kad debit dan melakukan transaksi ringkas pada bila-bila masa, di mana saja, dan mengurangkan keperluan untuk pergi ke cawangan.

"Aplikasi itu juga menyediakan kemudahan tambahan untuk menghantar wang ke nombor mudah alih dan wang boleh dikeluarkan dari mana-mana ATM Maybank tanpa perlu menggunakan kad ATM," katanya.

Info

* Maybank Kemboja kini mengendalikan 21 rangkaian cawangan dan dilengkapi 40 terminal layan diri

Berita Harian X