Isnin, 4 Julai 2016 | 7:10pm

Jenazah enam keluarga selamat dikebumikan


JENAZAH enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok, pagi tadi, dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-furqan Kampung Kubang Badak di Kota Bharu. -Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Jenazah enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok, pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-furqan Kampung Kubang Badak di sini.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan oleh Imam Masjid Kampung Kubang Badak, Ariffin Ibrahim, di rumah ahli keluarga di Kampung Kubang Badak sebelum dikebumikan kira-kira jam 6.30 petang.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan itu yang dihadiri lebih 600 ahli keluarga dan saudara-mara yang terdekat.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Datuk Hassan Mahmood dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Mumtaz Md Nawi.

Enam jenazah itu yang dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan ialah Munira dan Mursyida Ahmad Latfi, 29, Mohammad Amin Firdaus Zakaria, 29, Raudatul Syazwina Abdullah, 4, Nurhana Jannati Mohammad Amin, lima bulan dan seorang bayi, Rifqi Norazmi, satu bulan.

Sementara itu, Norazami Mahat, 37, yang juga suami kepada Munira dibawa pulang ke Jelebu, Negeri Sembilan, untuk dikebumikan di sana.

Seorang ahli keluarga mangsa, Rosli Mat, 55, ketika ditemui berkata, tragedi yang berlaku itu adalah suratan takdir.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian mangsa, walaupun masih terkejut dengan kejadian itu.

"Alhamdulillah semua sudah selamat dikebumikan dan kami berharap mereka tenang di sana," katanya.

Berita Harian X