Isnin, 4 Julai 2016 | 12:26pm

Lori rempuh tiga kereta punca 7 sekeluarga maut


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit susulan kemalangan empat kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok awal pagi tadi yang menyebabkan tujuh sekeluarga maut dan lapan yang lain cedera - Foto Rambli Ibrahim

KOTA BHARU: Kemalangan yang mengorbankan tujuh sekeluarga berpunca daripada sebuah lori tiga tan memasuki laluan bertentangan dan merempuh tiga kereta.

Ketua Polis Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata nahas itu berlaku kira-kira jam 1.20 pagi ketika tiga kenderaan termasuk kereta PERODUA Myvi dinaiki mangsa dalam perjalanan menghala ke Kuala Krai.

Beliau berkata, lori terbabit dari arah arah Kuala Krai menuju ke Gua Musang memasuki laluan bertentangan hingga merempuh kereta dinaiki mangsa ketika di Kilometer 11, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

"Dalam kejadian itu, PERODUA Alza berada di barisan depan manakala Myvi dinaiki mangsa di belakangnya, tetapi kereta Alza sempat mengelak sebaik ternampak lori memasuki laluannya.

"Sebaik kereta Alza itu sempat mengelak lori berkenaan terus bertembung dengan kereta dinaiki mangsa menyebabkan mereka tersepit di tempat duduk masing-masing. Kenderaan itu remuk sama sekali," katanya.

Rajab Ahad berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dipanggil bagi mengeluarkan mangsa.

Beliau berkata, ketujuh-tujuh mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.

Tujuh yang terkorban adalah sepasang kembar, Munira dan Mursyida Ahmad Latfi, 29, Norazmi Mahat, 37, Mohammad Amin Firdaus Zakaria, 29, Raudatul Syazwina Abdullah, 4, Nurhana Jannati Mohammad Amin, lima bulan dan seorang bayi, Rifqi Norazmi, satu bulan manakala seorang mangsa, Wan Muhammad Aqil Aliuddin, 3, cedera.

68 dibaca
Berita Harian X