Isnin, 4 Julai 2016 | 11:55am

Aidilfitri bertukar menjadi majlis tahlil


KEMALANGAN membabitkan empat kenderaan iaitu dua kereta jenis PERODUA Myvi, sebuah PERODUA Alza dan sebuah lori lima tan jenis Hino. - Foto ihsan pembaca

KOTA BHARU: "Aidilfitri kali ini bagai tiada makna buat kami apabila kehilangan tujuh ahli keluarga sekali gus," kata Ahmad Latfi Mat@Mohamad, 62, bapa kepada dua mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Gua Musang-Kuala Krai awal pagi tadi.

Beliau yang ditemui di Kampung Kubang Badak, di sini dilihat mengalirkan air mata kerana masih lagi tidak percaya apabila kehilangan dua anak dan menantu serta tiga cucunya dalam sekelip mata di saat kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Ahmad Latfi berkata, beliau menerima panggilan daripada seorang anaknya kira-kira jam 2.30 pagi tadi memberitahu mengenai kejadian itu dan terus menghubungi pihak Hospital Gua Musang untuk mengesahkan berita buruk itu.

"Sebaik saja mendapat senarai nama mangsa, alangkah hibanya apabila melihat semua tujuh mangsa yang meninggal adalah ahli keluarga saya.

"Walaupun sebelum itu hati saya ada menyimpan sedikit harapan agar berita kemalangan itu tidak membabitkan kereta yang dinaiki mereka, namun takdir Allah sudah tertulis," katanya sambil mengesat air mata.

Dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok, Gua Musang, kira-kira jam 1.30 pagi itu, tujuh yang terkorban adalah sepasang kembar, Munira dan Mursyida Ahmad Latfi, 29; Norazmi Mahat, 37, Mohammad Amin Firdaus Zakaria, 29, Raudatul Syazwina Abdullah, 4, Nurhana Jannati Mohammad Amin, lima bulan dan seorang bayi, Rifqi Norazmi, satu bulan manakala seorang mangsa, Wan Muhammad Aqil Aliuddin, 3, cedera.

Kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu dua kereta jenis PERODUA Myvi, sebuah PERODUA Alza dan sebuah lori lima tan jenis Hino.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah lori dari arah Kuala Krai memasuki laluan bertentangan, sebelum merempuh kenderaan dinaiki mangsa dari Gua Musang.

Ahmad Latfi berkata, anak kembarnya itu sering pulang ke kampung halaman bersama-sama dan mempunyai hubungan rapat sejak kecil hingga masing-masing sudah berumahtangga.


TUJUH terkorban dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok, Gua Musang, kira-kira jam 1.30 pagi tadi. - Foto Bomba

Katanya lagi, sebelum terbabit dalam nahas, anaknya, Mursyida ada menghubungi adiknya yang berada di Machang, Anis Arifah, 23, untuk bersahur di sana kerana khuatir tidak sempat tiba di rumahnya di sini.

"Kali terakhir saya berhubung dengan Mursyida adalah dua hari lalu yang berpesan supaya saya berikhtiar agar bekalan air di rumah ini cukup untuk kegunaan sempena Aidilfitri memandangkan di sekitar kawasan ini sering mengalami masalah air.

"Saya terus membeli enjin tambahan untuk persediaan ahli keluarga yang dijangka ramai datang berkumpul Aidilfitri ini namun tidak disangka ia akan menjadi majlis tahlil," katanya.

Berita Harian X