Isnin, 4 Julai 2016 | 12:13am
AKTIVITI semaian masih berleluasa di atas tapak milik Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh. - Foto Asyraf Hamzah
AKTIVITI semaian yang dijalankan di tanah milik PKKN Sungai Buloh. - Foto Asyraf Hamzah
WARGA asing tetap mendiami dan menjadikan rumah bekas pesakit kusta sebagai kediaman dan stor walaupun sudah jelas notis pengosongan ditampal pada pintu. - Foto NSTP
AKTIVITI tapak semaian masih dijalankan seperti biasa di tanah milik Hospital Sungai Buloh. - Foto Asyraf Hamzah
SETIAP rumah bekas pesakit yang diceroboh dilengkapi perabot, bekalan air dan elektrik. - Foto Zulfadhli Zulkifli
ANTARA kediaman berhampiran Klinik Kusta yang masih elok turut diceroboh warga asing. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Warga asing masih dibiarkan ceroboh rumah pesakit kusta


SUNGAI BULOH: Jaminan perobohan rumah bekas pesakit Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di sini, yang diceroboh dan didiami warga asing di sini, umpama 'janji palsu' kerana tiada tindakan diambil selepas enam bulan berlalu.

Pencerobohan bukan setakat berleluasa dengan warga asing mendiami rumah bekas pesakit dan mengguna bekalan air pusat itu untuk kegunaan nurseri, malah tinjauan terkini BH mendapati ada premis di situ dijadikan tempat maksiat.

Sumber ditemui BH, mengakui tiada sebarang langkah digerakkan mana-mana agensi bagi menghentikan pencerobohan terhadap bekas rumah pesakit kusta di situ, meskipun Kementerian Kesihatan berjanji menghentikan situasi itu.

Selain bekas rumah pesakit yang rosak dan kosong didiami, beberapa kediaman berhampiran Klinik Kusta yang masih elok turut diceroboh warga asing.

Dalam tinjauan terkini, BH mendapati, setiap rumah bekas pesakit yang diceroboh dilengkapi bekalan air dan elektrik, walaupun penghuninya berbeza berbanding ketika tinjauan pada Januari lalu.

gn4id:14633778


WARGA asing menjadikan bekas rumah pesakit sebagai tempat tinggal. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Ketika memasuki beberapa rumah di situ, tidak kurang 10 warga Indonesia bertempiaran melarikan diri, mungkin menyangka serbuan pihak berkuasa, namun ada yang memberanikan diri untuk berbual.

"Kami tidak sewa rumah ini. Tauke di hujung sana yang suruh kami tinggal di sini kerana bekerja dengannya. Kami pun baru di sini, tidak tahu apa-apa sangat," dakwa seorang warga asing sebelum dia juga lari ke hutan di belakang rumah itu.

Lebih memeranjatkan, ada warga Indonesia menjadikan sebuah rumah berhampiran klinik kusta sebagai rumah urut.

Tidak mustahil kegiatan pelacuran ada di situ kerana ketika wartawan meninjau menerusi belakang rumah di situ, seorang wanita keluar dalam keadaan separuh bogel dengan seorang pemuda kelihatan sedang berbaring di atas tilam.

Ketika ditanyakan mengenai kegiatan warga Indonesia di situ dalam tinjauan Januari lalu, wanita terbabit mengaku menyediakan khidmat urutan dan tambahan kepada lelaki yang mahu mendapatkan khidmatnya tetapi perlu datang pada waktu malam.


WANITA Indonesia yang menawarkan khidmat urutan.

AKTIVITI tapak semaian masih berjalan seperti biasa meskipun sudah enam bulan pencerobohan dibongkar BH. Foto Asyraf Hamzah

WARGA asing menjadikan bekas rumah pesakit sebagai tempat tinggal di Pusat Kusta Negara, Sungai Buloh. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Wanita terbabit bersendirian, menceroboh beberapa rumah di situ sejak dua tahun lalu sebelum secara tetap mendiami rumah bernombor 493 yang terletak di sebelah kanan klinik kusta.

Ketika tinjauan terkini, turut kelihatan beberapa warga Indonesia suami isteri bersama anak kecil dan bayi di situ.

Ketika perkembangan semasa dirujuk, PKKN dan Hospital Sungai Buloh (HSB) memberikan maklumat berbeza.

Sumber PKKN mendakwa, tiada sebarang usaha ke arah merobohkan semua premis terbiar di situ seperti dihebahkan sebelum ini, meskipun pencerobohan terus berleluasa.

Sementara itu, sumber HSB berkata, mesyuarat bersama pelbagai pihak akan diadakan bagi mencari penyelesaian terhadap cadangan perobohan di situ, kerana Jabatan Warisan Negara (JWN) mahu mewartakan seluruh kawasan terbabit sebagai warisan.


TIADA sebarang langkah digerakkan mana-mana agensi bagi menghentikan pencerobohan. - Foto Zulfadhli Zulkifli

"JKR dan Kementerian Kesihatan sudah bersedia memberikan kelulusan dan perobohan boleh dibuat pada bila-bila sama, tetapi masalahnya JWN minta ia dikekalkan untuk dinaik taraf sebagai warisan negara," katanya.

Laporan BH secara bersiri pada Januari lalu, membongkar tindakan warga asing, termasuk pendatang tanpa izin menjadikan bekas rumah pesakit pusat itu yang terbiar sebagai penempatan serta nurseri haram, menyebabkan PKKN menanggung bil air sehingga hampir RM110,000.

Susulan pendedahan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, dilaporkan berkata, semua rumah terbiar dalam kawasan PKKN yang dikosongkan bekas pesakitnya, sama ada berpindah keluar atau meninggal dunia, akan dirobohkan.

Subramaniam berkata, tindakan meroboh kediaman kosong itu langkah paling sesuai, mengelak ia terus diceroboh pihak tidak bertanggungjawab selepas mengenal pasti terlebih dahulu kawasan PKKN yang disenaraikan sebagai warisan negara mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Mengikut rekod penempatan PKKN, hanya dua rumah di bahagian depan di situ bernombor 490 dan 503 masih didiami dua pesakit, manakala selebihnya sudah dikosongkan sama ada kerana sudah meninggal dunia atau dipindahkan ke dalam wad.


PAPAN tanda larangan menceroboh kawasan PKKN Sungai Buloh. - Foto Asyraf Hamzah

FAKTA PKKN

  • Merangkumi kawasan keluasan 227 hektar.
  • Diisytiharkan oleh kerajaan pada tahun 1926 sebagai tempat pengasingan koloni kusta mengikut Enakmen Kusta 1926, pesakit kusta perlu diasingkan.

Kronologi pendedahan pencerobohan PKKN

  • 11 Januari - BH mendedahkan penempatan PKKN diceroboh warga asing.
  • 12 Januari - Kementerian Kesihatan jelaskan susah tangani kerana PKKN seluas 227 hektar.
  • 12 Januari - 30 kakitangan imigresen serbu penempatan PKKN.
  • 13 Januari - Polis sahkan penempatan PKKN turut jadi sarang penagih.
  • 14 Januari - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam umum penempatan terbiar PKKN akan diroboh.
  • 3 Februari - Jabatan Kerja Raya (JKR) janji segerakan kelulusan merobohkannya.
Berita Harian X