Ahad, 3 Julai 2016 | 6:04pm

Warga Singapura maut tergelincir di Gunung Pulai


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa turun seorang lelaki warga Singapura maut selepas tergelincir dipercayai ketika menyusuri anak sungai, di kawasan air terjun Gunung Pulai, Kulai. - Foto Ihsan Bomba Johor

KULAI: Seorang lelaki warga Singapura maut selepas tergelincir dipercayai ketika menyusuri anak sungai di kawasan air terjun Gunung Pulai, dekat sini tengah hari tadi. 

Mangsa Cho Kah Loong David, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Mohd Khairi Zainuddin, berkata mangsa dipercayai terjatuh pada ketinggian kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari. 

Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. 

"Pihak kami difahamkan mangsa bersama empat lagi ahli keluarganya datang ke kawasan air terjun itu untuk beriadah, sebelum kejadian berkenaan menimpa mangsa. 

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya. 

Mohd Khairi berkata, isteri mangsa Chua Soo Huan, 48, dan anaknya Rachael Cho Chen Xin, 7, yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke Hospital Kulai dekat sini, untuk rawatan selanjutnya.

Berita Harian X