Ahad, 3 Julai 2016 | 10:00am

Rozita Che Wan ingin beraya di Makkah

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali mengerjakan umrah ketika Ramadan, Rozita Che Wan atau Che Ta menyimpan hasrat untuk meraikan 1 Syawal di Tanah Suci Makkah.

Ibu kepada Aaisyah Dhia Rana, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra berkata, pada mulanya keinginan itu cuba direalisasikan pada lebaran ini namun ia terpaksa dilupakan kerana terikat dengan penggambaran bersama produksi Zeel Productions selepas Aidilfitri.

"Saya akan ke Makkah selepas raya nanti untuk menjalani penggambaran. Sudah lama saya teringin beraya di Makkah kerana sebelum ini, saya hanya berkesempatan menyambut Ramadan di sana.

"Saya ingin merasai pengalaman baharu kerana sudah terbiasa beraya di ibu kota dan kampung. Siapa tahu, hasrat saya itu mungkin akan dimakbulkan Allah pada raya tahun depan," kata isteri kepada Zain Saidin itu.

Sudah menjadi rutin usahawan yang terkenal dengan karakter Kiah Pekasam dan Kak Marr itu untuk ke luar negara, sekali gus bercuti pada musim perayaan. Aidilfitri ini, Che Ta akan bercuti selama sebulan.

"Kami sekeluarga akan terlebih dulu beraya di Kuala Lumpur, seterusnya bertolak ke Kedah pada hari raya kedua. Alhamdulillah, kami tidak pernah ada masalah mengenai isu balik kampung.

"Kami akan kembali ke Kuala Lumpur pada raya keempat, seterusnya bercuti di luar negara sehingga 20 Julai ini. Antara lokasi yang akan dikunjungi seperti Barcelona, Madrid, Cordoba dan banyak lagi. Sekembali ke tanah air, saya bersama Zain dan Aaisyah akan ke Makkah hingga 10 Ogos.

"Di Makkah, selain terikat dengan penggambaran drama, saya juga akan mengerjakan umrah," katanya.

Berita Harian X