Rabu, 12 November 2014 | 10:23am

Cameron Highlands dedahkan kepincangan kita

Kematian dan kemusnahan harta benda akibat banjir lumpur terbaharu di Cameron Highlands Rabu lalu mungkin boleh dielakkan jika semua pihak terbabit - penduduk, pejabat tanah/daerah, penguat kuasa dan kerajaan negeri - memperkotakan keputusan yang dibuat selepas beberapa kejadian serupa di kawasan itu sebelum ini.

Ternyata, kejadian yang mengorbankan lima nyawa itu bukan saja membuktikan kita tidak mengambil iktibar daripada bencana dan tragedi berlaku sebelum ini, tetapi mempamerkan satu lagi budaya jelek kita - saling menuding jari.

Laporan khas akhbar ini mengenai kejadian itu Jumaat lalu mendedahkan pelbagai kejelekan yang dikatakan antara faktor penarahan cerun dan bukit di tanah tinggi yang pernah menjadi kebanggaan negara, berterusan, sekali gus menyebabkan banjir lumpur setiap kali hujan lebat.

Semua orang tahu penerokaan tanah secara berterusan, terutama membabitkan cerun dan bukit tanpa sebarang kawasan, lambat laun bakal berdepan musibah. Ini adalah hukum alam terhadap kerakusan manusia.

Seperti kata Pensyarah Geologi Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin, kerakusan peneroka menarah bukit untuk membangunkan ladang sayuran baharu menyebabkan berlaku mendapan tanah dan risikonya ialah tanah runtuh dan banjir lumpur.

Salahkan hujan lebat

Ramai belum lupa dengan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan tujuh penduduk Orang Asli ketika mereka mahu berbuka puasa di Sungai Ruil, Brinchang pada 7 Ogos 2011. Selepas kejadian itu, penarahan tanah tinggi tanpa kawalan dikatakan punca kejadian, tetapi dinafikan oleh pihak berkuasa yang menyalahkan hujan lebat selama beberapa jam sebagai faktor.

Pada 24 Oktober tahun lalu, empat orang terkorban dalam kejadian banjir lumpur di kawasan penempatan Lembah Bertam, Ringlet akibat pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar yang turut merosakkan kira-kira 80 rumah dan 100 kenderaan.

Ketika itu ramai menyalahkan Tenaga Nasional Berhad, selaku pemilik empangan itu, kerana gagal memberi notis kepada penduduk sebelum melepaskan air. Hakikatnya, peningkatan paras air empangan terlalu cepat akibat hujan lebat memaksa TNB bertindak segera bagi mengelak bencana lebih besar jika empangan itu pecah.

Bagaimanapun, dalam kejadian di kawasan yang sama pada petang Rabu lalu, penduduk di tebing Sungai Bertam sudah diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat. Malangnya, sebahagian penduduk, kebanyakannya pendatang asing yang tinggal di sepanjang sungai itu lambat meninggalkan kawasan berkenaan.

Yang menimbulkan persoalan, kenapa masih ada penempatan dibenarkan oleh pihak berkuasa di sepanjang sungai itu walaupun ia sudah dikenal pasti sebagai kawasan laluan pelepasan air dari empangan apabila berlaku hujan lebat, terutama pada musim tengkujuh sekarang?

Secara kebetulan, kejadian Rabu lalu itu berlaku selepas beberapa hari sebuah akhbar melaporkan Cameron Highlands kini 'ditawan' oleh kira-kira 30,000 warga asing dengan 80 peratus adalah warga Bangladesh. Kebanyakan mereka dikatakan tidak mempunyai permit, tetapi melakukan pelbagai aktiviti termasuk membuka kedai runcit dan memiliki kebun sayur.

Penguatkuasaan undang-undang lemah

Isu penarahan bukit secara haram dan kebanjiran pendatang asing tanpa kawalan di pusat peranginan itu sekali lagi mendedahkan kelemahan agensi penguatkuasaan undang-undang berkaitan. Kedua-duanya menimbulkan tanda tanya sampai bilakah keadaan ini akan berterusan?

Keputusan Mesyuarat Khas Bencana Banjir Kilat dan Tanah Runtuh di Cameron Highlands yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya semalam, diharap dapat menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh.

E-mel ke rencanabh@bh.com.my Untuk berkongsi pendapat anda

14 dibaca
Berita Harian X