Sabtu, 2 Julai 2016 | 3:33pm

10 Julai cuti di Terengganu

MENTERI Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman. - Foto Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengisytiharkan cuti peristiwa sempena sambutan Aidilfitri pada 10 Julai ini.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pengisytiharan itu berkuat kuasa jika Aidilfitri disambut pada 6 Julai ini.

Katanya, pemberian cuti tambahan itu selaras dengan pengumuman beberapa negeri lain yang turut memberikan kelonggaran kepada penjawat awam untuk tidak terburu-buru pulang bertugas.

"Kerajaan negeri setuju mengisytiharkan 10 Julai sebagai cuti peristiwa jika Aidilfitri jatuh pada 6 Julai.

"Saya harap pengisytiharan ini memudahkan urusan rakyat negeri untuk menyambut Aidilfitri dengan keluarga masing-masing.

"Selain itu, ia juga memberikan kelonggaran kepada anak perantau yang bekerja di Terengganu untuk tidak terburu-buru pulang ke sini untuk bekerja," katanya ketika ditemui selepas menziarah Calon Berkeperluan Khas (CBK) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nurmelisa Mohd Yadi di Chabang Tiga di sini, hari ini.

Berita Harian X