Sabtu, 2 Julai 2016 | 3:14pm

Yayasan Pasir Gudang sampaikan sumbangan


KHALED menyampaikan sumbangan kepada warga emas, Selamat Amat Buyong, 64, pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri di Dewan Serbaguna Taman Cendana, di Pasir Gudang, hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

PASIR GUDANG: Seramai 200 orang kurang berkemampuan di Parlimen Pasir Gudang di sini, menerima bantuan Aidilfitri anjuran Yayasan Pasir Gudang di sini, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bantuan wang tunai RM100 dan barangan keperluan asas bernilai RM100 itu membabitkan penerima di zon Taman Cendana dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Katanya, yayasan berkenaan memperuntukkan kira-kira RM40,000 bagi menjayakan program itu.

"Bantuan yang disampaikan kepada golongan memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama dapat mewujudkan suasana ceria di kawasan pentadbiran MPPG.

"Sokongan dan keprihatinan yang ditunjukkan juga diharap dapat meringankan beban mereka dalam meneruskan kehidupan," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri di Dewan Serbaguna Taman Cendana, di sini.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga menggalakkan sektor swasta menjalinkan kerjasama bersama pihak yayasan yang diwujudkan di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meneruskan pelbagai program untuk masyarakat.

"Adalah diharapkan lebih ramai akan tampil menghulurkan bantuan bagi membantu golongan memerlukan," katanya.

Berita Harian X