Sabtu, 2 Julai 2016 | 12:00am

Cita rasa Johor, Singapura di Teh Laris Kafe


HAYATI dan pekerja Teh Larik Kafe menunjukkan antara sajian istimewa untuk pelanggan.

SINGGAH makan di Teh Laris Kafe di Tadisma Business Park, Shah Alam membangkitkan teka-teki di kepala mengenai kebenaran dihidangkan minuman teh istimewa.

Bersimpang-siur bayangan kelazatan teh panas pelbagai perisa seperti strawberi, pudina, lemon madu termasuk teh Inggeris (English tea).

Tanda-tanya terungkai sebaik menemui pengusahanya, Hayati Mohamed Yusof, 51 yang memberitahu, mendapat ilham nama lewat kunjungan pelbagai kafe santai di luar negara.

"Berkonsepkan kafe santai dan ringkas, asalnya ingin memberi keutamaan kepada hidangan snek namun beralih selera kepada sajian Johor dan Singapura," katanya yang menyediakan tiga segmen menu iaitu sarapan, sajian tengahari dan makan malam.

Kafe ini tidak menyenaraikan menu yang panjang sehingga memeningkan pelanggan membuat pilihan. Memadai menjadikan Lontong Singapura, Nasi Ambeng dan mi rebus Johor sebagai menu utama utamanya dan ia mendapat sambutan baik.

Lontong Singapura untuk sarapan pagi adalah paduan lemak manis tauhu, tempe bersama taburan serunding.

"Kelainan lontong Singapura ialah ia tidak ada fucuk suon namun dari segi rasa tidak banyak beza," katanya.

Jika hari biasa iaitu bukan bulan puasa, Nasi Ambeng adalah hidangan tengahari popular dalam kalangan pelanggan kerana tertawan dengan rasa ayam masak merah bersama ikan masin, serunding, sambal goreng dan tempe bersama tauhu.

Bagi kepelbagaian rasa, Hayati membenarkan pelanggannya memilih menikmatinya bersama rendang daging selain pilihan serunding kuning atau merah.

"Serunding kuning lebih pedas kerana dibuat dengan campuran udang kering dan cili padi, manakala serunding merah menggunakan ramuan ketumbar bersama cili kering.

"Orang di selatan tanah air menyukai serunding kerana ia membuatkan sajian lebih sedap," katanya.

Sementara itu, mi rebus Johor sedikit unik kerana ia dinikmati bersama keropok udang selain mewajibkan cili hijau, telur dan limau kasturi bagi memberi rasa pedas dan manis.

"Cili hijau pedas mengimbangi rasa manis kuah yang dimasak pekat. Bagi yang tidak suka dengan makanan pedas, boleh kurangkan pengambilan cili ataupun tidak usah jamah bersama cili. Dalam pada itu, kerangupan keropok udang menambah rasa untuk setiap kunyahan," katanya.


IRWAN Zulkefli bersama pekerjanya di Restoran Hidang.

Kudapan, pencuci mulut istimewa

Bubur sum sum disenaraikan sebagai pencuci mulut popular di kafe ini kerana menggunakan kuah gula putih mengganti gula merah.

Sajian yang dihasilkan menerusi adunan tepung beras dan santan itu mengemukakan resipi sama dengan kuih lompat tikam namun menjadi berbeza apabila dinikmati bersama kuah gula putih.

"Gula merah sangat mewah dan mengandungi lemak berlebihan. Gula putih pula, kami masak bersama cengkih menzahirkan tekstur rasa yang ringan tetapi manis secukup rasa. Sisipan daun pandan bukan saja menambah enak tetapi juga menjadikan bubur berbau wangi," katanya.

Selain hidangan Melayu turut menyediakan menu Barat antaranya ayam goreng keju mozzarella, chicken grilled, beef wrap, kentang goreng manakala kudapan tempatan seperti lempeng kelapa, ubi kayu, keropok lekor dan tauhu bakar turut menggamit pelanggan yang mahukan selera kampung.


TEH Laris Kafe.

INFO

Teh Laris Kafe

  • Lokasi: 13, Jalan Snuker 13/28, Tadisma Business Park, Shah Alam, Selangor
  • Waktu Operasi: 8 pagi hingga 10 malam. Dibuka sehingga 7 malam pada Sabtu.
  • Operasi sepanjang Ramadan bermula dari jam 3 petang hingga 9 malam.

  • Menu Istimewa: Lontong Singapura, Nasi Ambeng bersama serunding dan mi rebus Johor
  • Menu Cita rasa Barat: Ayam Goreng Mozarella, Ayam panggang (grill) dan daging berbungkus (beef wrap)
  • Menu Sampingan: Lempeng kelapa, ubi kayu rebus, kuih lompat tikam, keropok lekor, bubur sum sum dan tauhu bakar
  • Maklumat lanjut: Facebook: TehLaris Kafe

87 dibaca
Berita Harian X