Jumaat, 1 Julai 2016 | 9:25am
Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2016 yang dijalankan penguatkuasa JPJ di Plaza Tol Sungai Besi arah Selatan, malam tadi. - Foto Asyraf Hamzah

Ops HRA: 183 pegawai, anggota JPJ Johor terbabit


MOHD Rusdi (dua dari kanan) memeriksa dokumen perjalanan bas ekspres ketika Operasi Hari Raya Aidilfitri 2016 di Terminal Bas Larkin Sentral, malam tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menempatkan 183 anggota untuk bertugas sepanjang dua minggu pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA).

Pengarah JPJ Johor, Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata tujuh strategi penguatkuasaan dilakukan sepanjang operasi antaranya pemeriksaan bas ekspres di depoh terpilih dan di terminal bas utama negeri, penyamaran sebagai penumpang bas dan rondaan di lokasi panas serta jalan utama negeri.

Di Johor, katanya, terminal terpilih adalah Larkin Sentral di sini dan Terminal Bentayan di Muar, membabitkan pemeriksaan bas ekspres dan pemandu bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.

"Selain brek dan tayar bas, anggota akan turut memeriksa peraturan pemandu kedua, buku log dan pemanduan tidak melebihi lapan jam dalam tempoh 24 jam.

"Operasi turut mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi menjalankan pemeriksaan air kencing ke atas pemandu bas ekspres," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pemantauan Ops HRA 2016 dan Ops Khas Motosikal Bersepadu di sini, malam tadi.

Mohd Rusdi berkata, pihaknya menjalankan Ops Khas Motosikal sejak semalam, diikuti pada 3, 11 dan 13 Julai bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

"Pperasi bersepadu ini turut membabitkan beberapa agensi lain seperti trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR)," katanya.

Berita Harian X