Jumaat, 1 Julai 2016 | 12:29am

Iman, hijrah, jihad syarat layak peroleh rahmat


UMAT Islam yang ikhlas ketika beribadah sentiasa menerima rahmat Allah.

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani." (Surah al-Baqarah, ayat 218) Allah SWT memberi gambaran kalangan hamba-Nya yang mendapat rahmat dan kasih sayang berpanjangan daripada sisi-Nya.

Menurut Qatadah, ayat ini adalah puji-pujian Allah SWT terhadap sahabat baginda yang berhijrah dan berjihad pada jalan Allah SWT, mereka adalah sebaik-baik umat, termasuk pasukan Abdullah bin Jahsh yang telah membunuh Amru bin al-Hadrami.

Peperangan yang dilakukan oleh pasukan dipimpin Abdullah bin Jahsh itu kerana terlalu mengharapkan rahmat Allah SWT dan keredaan-Nya. Pada mereka ada sifat yang disebutkan dalam ayat di atas iaitu iman, hijrah dan jihad.

Sheikh Muhammad Tantawi dalam tafsirnya menghuraikan maksud orang beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah SWT, malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan istiqamah di atas jalan kebenaran, tunduk kepada hukum-Nya, menerima perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya.

Makna berhijrah, berjihad

Orang yang berhijrah pula ialah mereka yang meninggalkan harta dan tanah air bagi membantu agama mereka, manakala orang berjihad di jalan Allah SWT ialah mereka yang berusaha meninggikan kalimah Allah SWT.

Ketiga-tiga sifat itu pula disertai dengan pengharapan mereka terhadap rahmat Allah SWT. Dijelaskan dalam ayat itu, balasan bagi golongan mukmin yang berhijrah dan berjihad.

Bagi yang mantap keimanannya dan berhijrah bersama Rasulullah SAW adalah orang yang mengharapkan rahmat dan kebaikan-Nya.

Malah, mereka memang sepatutnya diberi balasan sedemikian kerana telah menyerahkan seluruh tenaga untuk mencapai keredaan-Nya.

Nabi SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah kerana menghindarkan diri dan umatnya daripada penganiayaan serta gangguan kaum kafir Quraisy terhadap agama mereka. Ini berlaku setelah penduduk Madinah berjanji mereka membela baginda sebagaimana mereka membela diri sendiri.

Kemudian kaum mukminin mengikut baginda berhijrah untuk memuliakan Islam dan supaya mampu membela diri apabila mereka tetap bersatu.

Mereka berterusan seperti itu sehingga datang saat pembebasan kota Makkah serta Madinah dan Allah SWT menghinakan kaum musyrikin dan agama mereka.

Tidak berputus asa

Allah SWT sentiasa menyediakan rahmat-Nya yang diharamkan oleh mereka yang ditindas. Setiap Mukmin yang hatinya dipenuhi keimanan tidak akan berputus asa daripada rahmat Allah SWT itu. Harapan seseorang mukmin terhadap rahmat Allah SWT tidak sekali-kali dikecewakan-Nya.

Golongan mukminin yang ikhlas kepada Allah SWT dan sanggup berhijrah meninggalkan Makkah telah mendengar janji yang benar ini, lalu mereka berjihad sehingga Allah SWT memenuhi janji-Nya dengan memberi kemenangan atau penghormatan mati syahid.

Rahmat Allah SWT adalah kasih sayang-Nya. Tanpa rahmat daripada Allah SWT, manusia tidak mungkin akan hidup bahagia di dunia atau akhirat. Semua keperluan manusia di dunia ini seperti tempat tinggal, makanan, minuman, oksigen dan lain-lain adalah di antara kesan rahmat Allah SWT kepada mereka.

Lebih-lebih lagi di akhirat nanti, amalan kita diterima-Nya dan dosa kita diampuni-Nya adalah antara kesan rahmat serta kasih sayang Allah SWT bahkan seseorang tidak akan mungkin masuk syurga tanpa rahmat Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidaklah amalannya semata-mata yang memasukkan salah seorang daripada kamu ke dalam syurga dan tidak pula ia menjauhinya daripada neraka; demikian juga dengan aku, kecuali dengan rahmat daripada Allah." (Riwayat Muslim)

Syarat dapat rahmat Allah

Allah SWT telah menetapkan bahawa iman, hijrah dan jihad adalah tiga syarat utama yang mesti dimiliki bagi melayakkan diri, termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat-Nya. Harapan mendapatkan rahmat Allah SWT tidak akan tercapai tanpa usaha yang boleh mendatangkan rahmat itu.

Allah Maha Luas keampunan-Nya kepada orang yang bertaubat dan meminta keampunan kerana Dia Maha Besar rahmat-Nya kepada orang mukmin.

Qatadah berkata, mereka ini adalah umat pilihan dan Allah SWT telah menjadikan mereka sebagai orang yang mempunyai harapan. Sesiapa yang mengharap, pasti dia akan mencari, manakala siapa yang takut, pasti akan lari.

* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

13 dibaca
Berita Harian X