Khamis, 30 Jun 2016 | 2:20pm

Giggs akhirnya akan tinggalkan Man United


Ryan Giggs.

MANCHESTER: Ryan Giggs dijangka menamatkan kariernya bersama Manchester United selepas 29 tahun bersama.

Anak kelahiran Wales itu menolak tawaran di bawah pengurus baharu Jose Mourinho, apabila sebelum ini percaya United akan memberinya jawatan tertinggi selepas berkhidmat di bawah David Moyes dan Louis van Gaal.

Mengikut laporan Daily Mail, wakil Giggs sedang dalam perbincangan bersama United mengenai gaji jurulatih itu pada tahun terakhir kontraknya.

Jurulatih berusia 42 tahun itu memulakan peranan sebagai pengulas ITV di Euro 2016 pada malam ini, tetapi mahu untuk berpindah ke pengurusan kelab.

Giggs membuat rekod kelab sebanyak 963 penampilan bagi United selepas menyertai kelab itu pada usia 14 tahun pada 1987 dan menjulang dua kejayaan Liga Juara-Juara, 13 gelaran Liga Perdana dan empat kali Piala FA.

Dipercayai Giggs masih belum bercakap secara langsung dengan Mourinho, yang akan memulakan tugas di Carrington dengan pasukan pada Isnin ini. Difahamkan ada percubaan terakhir bagi mengekalkan legenda United itu.

Tetapi Giggs dikatakan sudah membuat keputusan selepas kecewa bagaimana kelab itu diuruskan dalam beberapa tahun ini.

Beliau menerima perkara itu yang dilihat sebagai perjudian, tetapi beberapa individu di United juga menasihatkannya meninggalkan Old Trafford dan meneruskan kerjayanya di tempat lain. - AGENSI

Berita Harian X