Khamis, 30 Jun 2016 | 1:39pm

Che Ta tak segan tambah ilmu perniagaan


ROZITA Che Wan. - Foto Aziah Azmee


ROZITA Che Wan. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Walaupun dilihat antara selebriti berjaya dalam perniagaan, pelakon, Rozita Che Wan, tidak segan untuk mengikuti seminar bagi menambah pengetahuan dalam bidang berkenaan.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, yang menceburi bisnes sejak lima tahun lalu, dan suami, Zain Saidin, baru-baru ini turut sama mengikuti seminar oleh mentor keusahawanan terkenal, Dr Azizan Osman.

"Saya belajar hanya tahap Sijil Pelajaran Malaysia. Jadi, saya percaya di sebalik kejayaan perniagaan saya usahakan, masih ada ruang boleh diperbaiki. Pada seminar terbabit, sekurang-kurangnya saya sempat belajar selok-belok soal pemasaran.

"Zain pula setia menemani kerana dia juga memiliki perniagaan sendiri," katanya kepada BH Online.

Selama ini, menurut Che Ta, dirinya mungkin menganggap segala perancangan dilakukan sudah cukup baik, bagaimanapun kini beliau sedar masih ada alternatif boleh dipelajari.

"Sebagai ahli perniagaan, kita kena cari saluran betul dan tidak boleh tangkap muat untuk memasarkan produk serta perkhidmatan. Menuntut ilmu pula memang tiada penghujungnya. Setiap hari kita boleh memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri, termasuk soal berniaga," katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai Ramadan, Che Tan akui lebih banyak berehat dan memberikan tumpuan kepada ibadat.

"Saya hanya menghadiri acara tertentu pada Ramadan ini. Insya-Allah, selepas raya nanti, saya akan ke Makkah kerana terbabit dengan penggambaran drama," katanya yang baharu saja selesai menjalani rakaman program Teh Tarik Che Ta musim kedua.

Che Ta mula menceburi perniagaan busana muslimah menjual rangkaian jubah dan tudung di bawah jenama Padusi pada 2011 dan seterusnya pada awal 2015 tampil dengan tudung dan selendang 'instant' di bawah label Zeta en Rawdah di samping adik tersayang, Ayu Raudhah.

Tidak terhenti di situ, dia meneroka lagi pasaran baru pada Ogos 2015 menerusi rangkaian minyak wangi Precious dan diikuti dengan Gorgeous. Januari tahun ini, Rozita mengeluarkan produk losen Putih Ajaib by RCW. Seterusnya Mac lalu pula, hadir pula jenama Jus Goyang Rapat by RCW.

37 dibaca
Berita Harian X